[TERKINI] SPRM Tahan Bekas Ketua Setiausaha Politik Kanan PM – Ikuti Perkembangan di Sini!
MALAYSIA

[TERKINI] SPRM tahan Sofia Rini, mohon reman Shamsul Iskandar, Albert Tei esok - Azam Baki

Pia Ernadya 28/11/2025 | 09:31 MYT
Azam berkata, wanita itu telah direman selama empat hari. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang wanita dikenali sebagai Sofia Rini Buyong yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah membabitkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata wanita itu telah direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

"Sofia Rini telah ditahan pada jam 10.30 malam 27 November (Khamis) ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bagi membantu siasatan.

"Pada hari ini (Jumaat) 28 November, permohonan reman telah dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya dan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin telah membenarkan Sofia Rini direman selama empat hari sehingga Isnin, 1 Disember 2025," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

BACA: SPRM serbu rumah Albert Tei

BACA: Shamsul Iskandar ditahan SPRM bantu siasatan dakwaan rasuah

Beliau berkata, turut ditahan untuk membantu siasatan ialah Shamsul Iskandar serta individu yang mendakwa memberi rasuah iatu Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing.

Azam berkata, kes itu berkepentingan awam dan atas faktor itu SPRM telah menjalankan siasatan dengan kadar segera agar tidak dimanipulasi pihak tertentu.

Mengulas lanjut, Azam berkata, Albert yang pada mulanya dijangka hadir pada 1 Disember telah dimaklumkan untuk hadir lebih awal namun dia enggan memberi kerjasama, menyebabkan dia ditahan di rumahnya jam 10.15 pagi Jumaat.

"Seperti semua sedia maklum, Albert adalah orang paling penting bagi membantu siasatan kes ini.

"SPRM juga telah menyerahkan notis Seksyen 28 A (9) Kanun Prosedur Jenayah kepada Albert yang mana ia memberi kuasa kepada pihak berkuasa yang menyiasat bagi menafikan hak tertuduh untuk berhubung dengan peguam dan mana-mana pihak lain," katanya.

Dalam pada itu, Azam berkata, pihaknya telah menahan Shamsul Iskandar ketika dia hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM jam 12.51 tengah hari Jumaat.

Katanya, SPRM dijangka akan membuat permohonan reman Albert dan Shamsul Iskandar di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi Sabtu.

"SPRM akan menyiasat kes ini secara profesional dan adil berlandaskan lunas undang-udang.

"Mana-mana pihak yang mempertikaikan tindakan penahanan ketiga-tiga individu berkenaan mempunyai hak untuk mempertikaikannya di mahkamah," katanya.

Beliau berkata, telah mengarahkan pegawai siasatan untuk melengkapkan siasatan dalam tempoh seminggu untuk dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara bagi keputusan selanjutnya secepat mungkin.






#SPRM #Sofia Rini #Shamsul Iskandar Mohd Akin #kes rasuah SetPol PM