KUALA LUMPUR: Kerajaan mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh termasuk membabitkan pemeriksaan kilang dan premis perniagaan susulan terlalu banyak pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang telah diwartakan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemeriksaan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 78,975 pemeriksaan pada Ahad.

Ia termasuk pemeriksaan ke atas 2,087 buah kilang, 16,086 premis perniagaan, 625 tapak pembinaan dan 449 buah asrama penempatan pekerja.

"Hasil daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 17 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan," katanya dalam kenyataan media harian, hari ini.

Beliau turut memaklumkan, seramai 514 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dengan 503 individu dikompaun manakala 11 lagi direman.

Antara kesalahan yang direkodkan ialah rentas negeri/daerah tanpa kebenaran, makan/minum di premis (126), tiada penjarakan fizikal (104), individu gagal mendaftar masuk premis (69) dan tidak patuh arahan kawalan pergerakan (58).

Dalam pada itu, beliau berkata, outlet pusat khidmat pelanggan syarikat telekomunikasi yang terletak di pusat beli belah dan pasar raya akan dibenarkan beroperasi bermula 13 Julai.

"Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk memberi kebenaran kepada semua outlet pusat perkhidmatan pelanggan syarikat telekomunikasi yang terletak di dalam pusat beli belah serta pasar raya besar untuk beroperasi sepanjang Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 13 Julai 2021," katanya.