KUALA LUMPUR: Dalam usaha melahirkan tenaga kerja terlatih di Hybrid Shipyard Tanjung Agas, Pekan, Pahang, Teroka Majubina Sdn Bhd dan Netherland Maritime University College (NMUC) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menubuhkan sebuah universiti maritim di negeri itu.

Universiti maritim yang bakal ditubuhkan itu juga dijangka menjadi pangkalan terbesar menghasilkan graduan bertenaga mahir dalam industri maritim perkapalan di negara ini.

MoU berkenaan ditandatangani antara Naib Pengerusi Academic Teroka Majubina, Datuk Abd Razak Abd Malek dan Pengerusi Eksekutif Netherland Maritime University College, Profesor Datuk Kapten Razali Yaacob.

Abd Razak berkata, Hybrid Shipyard yang dijangka beroperasi di Tanjung Agas, Pekan pada Jun 2025 memerlukan lebih 25,000 tenaga kerja dalam tempoh 10 tahun akan datang.

"Pelbagai kemahiran diperlukan untuk menyokong projek ini. Kami yakin bahawa kerjasama dengan Netherland Maritime University College akan membantu kami (Teroka Majubina Sdn Bhd) untuk mencapai matlamat yang disasarkan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Abd Razak menambah, pelajar tempatan dan luar negara berpeluang menuntut di kampus utama di Kuantan dan menjalani latihan amali di kompleks tersebut.



Universiti itu katanya akan menjadi pusat pengajian tinggi yang pertama di Malaysia bagi sektor maritim.

Beliau memberitahu, kemudahan Hybrid Shipyard Tanjung Agas akan menjadi limbungan yang pertama di dunia yang bakal menggunakan 100 peratus green energy atau sumber yang boleh diperbaharui.

"Malah, kemudahan ini akan menjadi fasiliti terbesar kitar semula hijau di Asia Tenggara. Sebuah stesen janakuasa biomass 200MW yang menggunakan tandan kosong kelapa sawit juga akan dibina di dalam kompleks limbungan hibrid ini," jelasnya.

Abd Razak berkata, projek itu akan bermula pada Mac tahun depan dan dijangka beroperasi pada Jun 2025.

"Projek ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan pesat kepada beberapa daerah di Pahang, terutamanya Pekan dan Kuantan.

Selain itu katanya, dengan adanya projek itu, industri-industri sampingan juga berpeluang untuk  wujud daripada projek ini.

Jadi ujarnya, projek itu akan menjadi game changer kepada industri maritim di Malaysia.