KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zuraida Kamaruddin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau terpaksa menandatangani beberapa dokumen yang disediakan oleh parti itu, sehari sebelum penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Zuraida, 65, berkata dokumen-dokumen itu telah diserahkan kepadanya untuk ditandatangani tanpa diberi penerangan berkenaan terma atau syarat.

"Waktu itu memang saat-saat getir dan saya tidak mempunyai kesempatan untuk membaca mahupun meneliti dengan baik isi kandungan dokumen yang saya tandatangani.

"Saya hanya diberitahu bahawa saya perlu menandatangani dokumen-dokumen tertentu untuk membolehkan saya bertanding di bawah nama PKR, membuatkan saya berfikir bahawa ia hanyalah dokumen biasa tentang kebenaran untuk saya bertanding menggunakan nama parti itu dan saya sama sekali tidak diberikan apa-apa pilihan lain selain daripada menandatangani dokumen yang disediakan oleh parti.

"Pada ketika itu, saya telah menandatangani dokumen-dokumen tersebut di bawah paksaan tanpa diberikan pilihan sebenar, kerana saya ingin terus memberikan perkhidmatan saya kepada rakyat khususnya di kawasan Parlimen Ampang," katanya.

Zuraida berkata secara jujurnya, beliau tidak tahu sama ada telah menandatangani bon bernilai RM10 juta, yang mengikatnya kepada parti atau dokumen lain.

Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes saman difailkan PKR terhadapnya yang didakwa melanggar syarat bon berkenaan di hadapan hakim Datuk Akhtar Tahir.

Zuraida, selaku defendan dalam kes saman itu turut menegaskan bahawa beliau tidak menandatangani mana-mana dokumen berhubung PRU14 atas pilihan sendiri dan tidak akan memilih untuk menandatangani dokumen-dokumen itu jika diberi pilihan sebenar.

"Begitu juga dengan calon-calon PKR yang lain, mereka juga tidak mempunyai pilihan sebenar melainkan untuk menandatangani dokumen-dokumen yang disediakan oleh parti jika ingin bertanding semasa PRU14," katanya dan menambah dokumen berhubung PRU14 disediakan dan ditetapkan oleh parti secara unilateral (sebelah pihak).

Ahli politik itu berkata adalah tidak masuk akal untuk PKR membelanjakan RM10 juta untuk beliau sahaja bagi PRU14 selain mendakwa tuntutan PKR dalam saman itu tidak berasas dan merupakan satu cubaan jahat untuk parti tersebut mengambil kesempatan bagi mengayakan parti.

"Saya tidak mempunyai pengetahuan tentang jumlah (wang) yang dibelanjakan oleh PKR dan saya tidak menerima apa-apa wang perbelanjaan daripada parti untuk menjalankan kempen semasa PRU14.

"Jika saya ingin mengupas tentang perbelanjaan yang dibelanjakan menggunakan wang keringat sendiri untuk kempen pilihan raya sepanjang penglibatan saya di bawah parti itu, saya boleh nyatakan di sini bahawa jumlah tersebut tidak terhitung.

"Namun saya tidak pernah menganggap perkara itu membebankan kerana saya percaya kepada matlamat parti. Seingat saya, sepanjang saya bertanding di bawah PKR, saya hanya pernah menerima sekali sahaja dana daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR) sebanyak RM10,000 untuk digunakan sebagai dana kempen Pilihan Raya Umum pada 2008.

Selepas itu, tiada lagi wang yang diterima daripada PKR dan saya terpaksa menggembleng tenaga dan masa penyokong-penyokong saya mencari dana untuk berkempen, termasuklah untuk PRU14. Ibu pejabat PKR juga pernah tidak cukup wang untuk bayar gaji kakitangan parti dan pihak pengurusan pejabat menghubungi saya untuk meminta bantuan sebanyak RM40,000," katanya.

Mengenai tuntutan berjumlah RM10 juta oleh PKR, Zuraida berkata tuntutan itu tidak berasas, sangat melampau dan tidak munasabah.

Pernyataan tuntutan PKR yang difailkan pada 28 Sept 2020 mendakwa Zuraida telah menandatangani bon itu yang mengikat dirinya untuk membayar sejumlah RM10 juta berdasarkan terma dan syarat bon berkenaan.

PKR mendakwa Zuraida telah bersetuju untuk membayar parti sejumlah RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Mahkamah menetapkan 23 Jun ini untuk keputusan.

Pada prosiding yang berlangsung secara dalam talian, Zuraida diwakili peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid manakala PKR diwakili peguam Navpreet Singh.

-- BERNAMA