PUTRAJAYA: Majikan digalakkan untuk meneruskan amalan bekerja dari rumah (BDR) atau melaksanakan sistem penggiliran kehadiran ke pejabat bagi mewujudkan persekitan tempat kerja yang selamat daripada COVID-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan sangat menggalakkannya bagi mengimbangi kesihatan awam dan pemulihan ekonomi.

"Saya telah bincang dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pagi tadi dan kami dan bersetuju bahawa buat masa ini kerajaan sangat menggalakkannya bagi mengimbangi kesihatan awam dan pemulihan ekonomi," katanya pada sidang media di sini, pada Isnin.

Pada masa yang sama, Khairy turut menasihati majikan supaya membantu pekerja mereka untuk melakukan ujian saringan COVID-19 terutamanya yang melibatkan kakitangan yang bergejala.

"Mungkin ada antara pekerja yang susah mendapat kit ujian saringan, tolong sediakan dan juga sediakan juga pelitup muka berkualiti tinggi," katanya.

Beliau turut berkata, majikan yang ingin melakukan pengubahsuaian sistem pengudaraan di pejabat dan tempat kerja boleh mendapatkan insentif daripada Kementerian Kewangan.

Mengenai kapasiti katil, Khairy memberitahu, sebanyak 3,233 daripada 9,776 katil di hospital digunakan bagi merawat kes COVID-19 dengan kadar penggunaan 33 peratus, peningkatan empat peratus berbanding minggu sebelumnya.

Katanya, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pula sebanyak 14 peratus atau 116 daripada 850 katil disediakan, iaitu penurunan sebanyak satu peratus.

"Ketika ini kadar penggunaan katil COVID-19 di fasiliti kesihatan kekal berada di tahap yang tidak membebankan.

"Kementerian Kesihatan setakat semalam sudah bersiap sedia dengan 120 Hospital COVID-19 masing-masing sembilan Full COVID-19 Hospital dan 111 Hibrid COVID-19 Hospital.

"Selain itu, sebanyak 43 Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dengan kapasiti 10,810 katil," ujarnya lagi.