Teruskan pelihara simbol komuniti Bidayuh dengan mengukuhkan solidariti kaum.

Demikian saranan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kepada masyarakat itu meskipun nisbahnya agak kecil berbanding komuniti lain di negeri tersebut.

Justeru itu, beliau menyifatkan pembinaan Asrama Komuniti Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) sebagai simbolik keutuhan etnik berkenaan.

“Anda sangat beruntung, sebab anda mempunyai pelbagai fasiliti di dalam sebuah kompleks, dan mempamerkan solidariti, yang menjadi simbol.

“Anda adalah komuniti yang sangat moden.

“Itu adalah jenama anda, jangan rosakkan jenama anda, dan kami (kerajaan negeri) akan melakukan yang terbaik untuk membantu semua pihak, tersabuk komuniti Bidayuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Penyerahan Geran Asrama Komuniti DBNA di Jalan Ong Tiang Swee di Kuching pada Khamis.

Kata Abang Jo, biarpun peratusan komuniti Bidayuh di Sarawak kecil, tetapi mereka mempunyai kelas mereka yang tersendiri.

“Komuniti Bidayuh ialah seperti cili padi. Cili padi yang sangat kecil tetapi berbisa dan kuat pedasnya, itulah karakter Bidayuh, kecil tapi efektif.

“Orang Bidayuh pernah jadi Setiausaha Timbalan Kerajaan Negeri dan ramai lagi pemimpin korporat Bidayuh yang terbaik.

“Anda mempunyai bakat, dan tiada sesiapa yang mendorong anda kerana anda ada merit untuk berada pada kedudukan tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, ia telah menjadi kejayaan masyarakat Bidayuh yang mana komuniti kecil tersebut mesti dicontohi oleh semua.

Kompleks asrama sembilan tingkat itu akan dibina di tapak lama dengan kos RM16 juta dan pembinaanya dijangka bermula Januari 2021 serta dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Ia turut merangkumi galeri, ruang serbaguna, serta 98 bilik asrama yang boleh menampung kapasiti seramai 196 orang.

Bangunan berkenaan juga akan dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan sekali gus membolehkan DBNA mengadakan lebih banyak program dan aktiviti termasuk seminar.

Sementara itu, Penasihat DBNA, Datuk Seri Michael Manyin Jawong memberitahu, bangunan ikonik itu berupaya meningkatkan ekonomi dan pentadbiran DBNA.

Jelasnya, sebelum ini fasiliti sedia ada DBNA boleh disewa untuk mana-mana aktiviti terbuka kepada semua bangsa dan acara kemasyarakatan.