KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mencadangkan pihak berwajib menetapkan harga siling bagi makanan yang telah dimasak di restoran dan bazar Ramadan.

Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata ia bagi mengelak peniaga mengambil kesempatan terhadap pengguna.

"Buat masa ini memang makanan sedia masak yang dijual di bazar Ramadan atau restoran tidak ada garis panduan harga. Jadi, jika tidak ada garis panduan harga, memang peniaga boleh meletakkan harga sesuka hati.

"Munasabah sekiranya kerajaan boleh menetapkan satu set harga maksimum atau harga siling contohnya seperti harga sepinggan nasi yang menggunakan beras Super Special Tempatan (SST) atau juadah tertentu," katanya dilaporkan Sinar Harian.

Beliau mengulas mengenai isu kenaikan harga jualan makanan ketika ini.

Mengulas lanjut, katanya penetapan harga siling itu perlu dilakukan sepanjang masa bukan hanya terhad kepada bulan Ramadan bagi mengelak kekeliruan.

Mohd Yusof berkata, meskipun cadangan itu bukan langkah yang mudah untuk dilaksanakan, namun perlu ada satu penyelesaian diwujudkan oleh pihak berkaitan.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kuasa untuk menetapkan garis panduan kerana lesen premis yang diberikan kepada peniaga adalah di bawah PBT.

"Mungkin ada perbincangan yang boleh dilakukan dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan sebagainya untuk melihat perkara ini," katanya lagi.

Dalam pada itu, tinjauan Astro AWANI di bazar Ramadan di sekitar ibu negara mendapati harga beberapa juadah berbuka puasa turut meningkat antaranya ayam percik, lauk pauk dan kuih muih.