[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
NATIONAL

TH komited rangka strategi pelaburan patuh syariah terbaik - Syed Hamadah

Firdaus Azil 21/03/2025 | 03:10 MYT
TH hari ini mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.25 peratus bagi tahun kewangan 2024, berjumlah RM2.92 bilion yang akan memberi manfaat kepada lebih 9.54 juta pendeposit. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Dalam cabaran persekitaran ekonomi global yang tidak menentu, Lembaga Tabung Haji (TH) masih dapat mencatatkan pertumbuhan dana dan prestasi yang positif, kata Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Hamadah Syed Othman.
Beliau berkata, prestasi kewangan positif TH adalah hasil daripada keyakinan terhadap usaha Kerajaan Malaysia dalam memacu perkembangan ekonomi negara yang amat baik pada tahun 2024.
Melihat kepada senario pasaran pelaburan secara keseluruhan, beliau berkata, TH komited untuk terus giat berusaha bagi merangka strategi pelaburan patuh syariah yang terbaik dengan tahap risiko bersesuaian.
Selain itu, jelasnya lagi, TH akan mengambil kira tahap kecairan yang perlu dipelihara demi memberikan pulangan yang kompetitif kepada para pendeposit ke atas tabungan mereka.
“Strategi pelaburan TH juga mengambil kira jaminan wang simpanan pendeposit di mana setiap sen yang disimpan di TH oleh pendeposit dijamin 100 peratus oleh Kerajaan Malaysia.
“Dalam masa yang sama, TH akan sentiasa berpegang teguh kepada tunjang peranan utamanya dalam menyediakan platform simpanan patuh Syariah yang selamat dan diyakini bagi para pendeposit menunaikan ibadat haji,” katanya lagi.
Dalam sidang media khas pada Jumaat, TH telah mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.25 peratus bagi tahun kewangan 2024,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia merupakan kadar tertinggi dalam tempoh tujuh tahun sejak 2018.
Tambahnya lagi, keseluruhan agihan keuntungan berkenaan berjumlah RM2.92 bilion yang akan memberi manfaat kepada lebih 9.54 juta pendeposit TH.
Dalam pada itu Syed Hamadah berkata, TH telah melalui banyak transformasi dalam memperkukuhkan tadbir urus, mendigitalkan penyampaian perkhidmatan, dan menstabilkan kedudukan kewangan sebagaimana dibuktikan melalui kejayan pelan strategik 3 tahun yang dinamakan Hijrah24 yang baru sahaja dimuktamadkan pada akhir tahun 2024.
Selain itu beliau berkata, pengurusan haji cemerlang TH telah diiktiraf diperingkat antarabangsa dan dimanifestasikan melalui tiga Anugerah Labbaittom secara berturut-turut bagi kategori kepuasan tertinggi dalam perkhidmatan dan program bimbingan.
Bergerak ke hadapan, Syed Hamadah berkata, pendeposit tidak lagi diwajibkan untuk menunaikan zakat ke atas simpanan mereka memandangkan TH telah melunaskan zakat dengan sewajarnya bagi pihak pendeposit.
“Untuk makluman juga, amalan pelarasan zakat yang diamalkan oleh TH telah mendapat pengesahan daripada Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada bulan Oktober 2024 yang lepas.
“Ini adalah satu lagi perbezaan dan kelebihan menyimpan di TH yang perlu difahami oleh setiap para pendeposit,” katanya lagi.
#syed hamadah syed othman #Tabung Haji #pengurusan haji #pertumbuhan dana