KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) masih menunggu pengumuman rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berkaitan jumlah kuota jemaah haji, kriteria pemilihan dan kaedah pelaksanaan untuk musim haji pada kali ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam satu kenyataan, TH sedang giat membuat persediaan operasi haji tanah air dan Tanah Suci sejak tahun lalu bagi memastikan kelancaran urusan bakal haji Malaysia pada tahun ini.

Jelas beliau, pihaknya mengambil maklum berkenaan beberapa sebaran daripada media tanah air dan Arab Saudi berkenaan perjalanan ibadah haji bagi musim haji 1442H.

“Bagi operasi haji tanah air, persiapan awal telah diperkukuhkan dengan mengambil kira amalan norma baharu di stesen berlepas semasa bakal haji melapor diri.

“Manakala di Tanah Suci, persiapan telah dilakukan di Mekah dan Madinah dari segi penginapan, pengangkutan, penerbangan, sajian makan dan sebagainya,” jelasnya pada Isnin.

TH juga telah mengadakan mengadakan beberapa siri mesyuarat dan bengkel secara berkala dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi persediaan kesihatan dan keselamatan jemaah haji di Tanah Suci.

Bermula Mac 2021, TH telah menyarankan bakal jemaah haji Malaysia untuk mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera atau laman web www.vaksincovid.gov.my.

Bakal jemaah haji juga diminta bersedia untuk mengambil suntikan wajib vaksin meningococcal.