MEKAH: Sebanyak 236,000 pek makanan disediakan untuk jemaah haji Malaysia ketika kemuncak ibadah haji atau Masyair di Arafah, Muzdalifah dan Mina bagi memudahkan urusan penyediaan makanan.

Ketua Rombongan Haji Malaysia 1445H/2024M, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman berkata, penyediaan pek ‘sajian sedia dimakan’ atau Ready To Eat (MRE) semasa Masyair itu melibatkan tiga hidangan pada musim haji kali ini iaitu makan pagi, tengah hari dan malam.

"Buat pertama kali tahun ini, kita sediakan secara sepenuhnya hidangan MRE untuk jemaah semasa Masyair. Terdapat sembilan menu untuk 16 hidangan sepanjang di Arafah, Muzdalifah dan Mina di mana jemaah akan tinggal di khemah-khemah penginapan yang disedia dan diuruskan Mashariq.

"Ini penambahbaikan kita cuba buat tahun ini, selepas projek perintis dimulakan pada 2019 di mana ketika itu hanya terdapat satu sajian, kemudian ditingkatkan kepada tiga sajian," katanya kepada petugas media selepas melawat stor penyimpanan MRE di Alzaidi, Mekah.

Untuk rekod, Mashariq menyediakan kemudahan dan perkhidmatan asas untuk jemaah haji Malaysia khususnya kemudahan ketika berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina pada waktu puncak ibadah haji atau masyair.

Selain itu, kos sambutan jemaah haji Malaysia memasuki Mekah dan penghantaran mereka keluar dari Mekah sama ada ke Madinah atau Malaysia, dan tempoh berada di Mekah dikendalikan Mashariq.

Seterusnya, elemen paling penting ialah perkhidmatan serta kemudahan ketika masyair seperti dari segi khemah penginapan, penghawa dingin, makan minum, pengangkutan dan pergerakan jemaah haji antara Mekah, Arafah, Muzdalifah serta Mina.

Selain itu, urusan bimbingan dan pandu arah kepada jemaah haji seperti ketika menunaikan umrah pertama serta melontar di jamrat dan perkhidmatan berkenaan akan diurus serta disediakan oleh pihak Mashariq.

Sebelum ini Mashariq dikenali sebagai Muassasah Tewafa Asia Tenggara, kini dijenamakan semula sebagai Mashariq.

Sementara itu, Syed Saleh berkata, pek-pek makanan MRE itu sudah sampai di Mekah dan menunggu masa untuk diedarkan kepada jemaah semasa hari kemuncak ibadat haji nanti.

Ia yang dibawa melalui jalan udara dan laut itu melepasi saringan yang ketat pihak berkuasa Arab Saudi, malah mendapat kelulusan Agensi Makanan dan Ubat-Ubatan Arab Saudi.

Menu-menu untuk sajian kepada jemaah di Masyair nanti termasuk Ayam Masak Merah, Daging Masak Kicap, Nasi Lemak, Nasi Goreng Ayam dan Ayam Masak Lemak.

Beliau yang juga Pengarah Eksekutif Haji TH menambah, dua pembekal dipilih iaitu masing-masing dari Malaysia dan Thailand susulan lawatan pihak Mashariq yang turut disertai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke kilang sajian MRE di Malaysia baru-baru ini.

"Hasil lawatan, penilaian telah dibuat iaitu semasa Masyair, 16 sajian disediakan kepada jemaah di mana sembilan sajian dikhaskan secara MRE manakala tujuh lagi dimasak di dapur di khemah penginapan jemaah di Arafah, Mina dan Muzdalifah," ujar beliau.

Contoh pek sajian sedia dimakan untuk jemaah haji ketika kemuncak ibadah haji atau Masyair di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Syed Saleh berkata, pek-pek makanan itu akan memudahkan operasi penyediaan makanan untuk jemaah haji kerana ia hanya perlu dipanaskan selama 10 minit tanpa perlu menyediakan dapur lengkap dengan petugas untuk memasak.

"Pek ini boleh bertahan sehingga dua tahun dan apabila dibuka boleh dimakan dalam tempoh dua jam, rasa makanannya juga seperti makanan biasa, ia amat sesuai digunakan semasa di Arafah dan Mina nanti," katanya.

Musim haji tahun ini menyaksikan 31,600 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan rukun Islam kelima itu dengan dibantu lebih 600 petugas TH.

Hari Wukuf ialah pada 9 Zulhijjah atau bersamaan 15 Jun 2024, di mana ia adalah kemuncak musim panas di Arab Saudi.