KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan yang berteraskan Malaysia Madani tidak membenarkan sebarang program yang tidak bermoral diadakan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Wilson Ugak Kumbong.

Beliau berkata penganjuran mana-mana program perlu mengambil kira kemajmukan kaum dan agama yang terdapat di negara ini.

"Kerangka Malaysia Madani adalah untuk menyantuni semua rakyat di seluruh Malaysia ... kerajaan kita tidak ada program-program seperti yang dikatakan tadi dan Malaysia Madani tidak akan teruskan dengan program yang tidak sihat itu," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin tahu pendirian kerajaan berkenaan penganjuran program melibatkan kumpulan Thai Hot Guy di sebuah premis di ibu negara pada 30 Mac ini dan meminta ia dibatalkan.

Semalam, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda Pas menerusi Facebooknya mendesak penganjuran program itu dibatalkan kerana menyifatkan tiada keperluan acara sedemikian diadadakan terutamanya pada bulan Ramadan.

Pada Ahad lepas, sebuah premis di ibu negara menyiarkan poster pelancarannya dalam media sosial menampilkan persembahan oleh pelayan lelaki berbadan sasa berpakaian wanita dikenali sebagai Thai Hot Guy sekali gus mengundang reaksi negatif orang ramai.

Sementara itu, menjawab soalan asal Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang ingin tahu mekanisme dalam menjadikan konsep Madani ke dalam dasar negara dan bukan slogan semata-mata, Wilson berkata Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) sedang giat menyediakan draf Manhaj Membangun Malaysia Madani.

Beliau berkata ia akan dijadikan sebagai rujukan (blueprint) dalam membentuk dasar dan pelan strategi yang lengkap bagi mencapai hasrat kerajaan dalam membela golongan sasar dan memperkasakan di samping mempertingkatkan daya saing serta memperkukuh daya tahan negara.

"Penggubalan semua dasar kerajaan berdasarkan kepada teras strategik di bawah Kerangka Membangun Malaysia Madani yang mencakupi tiga teras strategik utama di atas dan turut bersandarkan kepada lima dasar utama iaitu Rancangan Malaysia, Bajet Tahunan, Pelan Antirasuah dan Tatakelola, Maqasid Syariah dan juga Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

"Ini semua akan diterjemahkan melalui penggemblengan tenaga daripada penglibatan semua kementerian, jabatan dan agensi dalam pelaksanaan projek-projek Ikhtiar Bitara Madani sama ada dalam jangka pendek, sederhana mahupun jangka panjang bersandarkan kepada fungsi yang unik dan berbeza di setiap kementerian.

"Ia akan menjadi medium untuk konsep Malaysia Madani bukan sahaja lebih difahami, malah juga dapat dinikmati manfaatnya oleh pelbagai lapisan masyarakat," katanya.

-- BERNAMA