KENAIKAN kos mengerjakan ibadat haji pada tahun hadapan (2024) yang dijangka meningkat sepertimana tahun sebelumnya perlu diterima memandangkan situasi berkenaan tidak hanya memberi kesan kepada umat Islam di negara ini malah seluruh dunia.
Peningkatan tersebut yang dianggarkan mencecah sehingga 11 peratus seperti diumumkan Lembaga Tabung Haji (TH) tidak dapat dielakkan berdasarkan situasi ekonomi semasa dunia, pasca COVID-19 serta peningkatan Cukai Nilai Tambah (VAT) sebanyak 15 peratus yang dilaksanakan Arab Saudi.
Ini bermakna, kos mengerjakan haji pada musim hadapan bagi seorang jemaah Muassasah akan menjadi sebanyak RM34,000 seorang berbanding RM30,850 pada tahun ini (2023) dan RM28,632 pada tahun sebelumnya (2022).
Biarpun berlakunya peningkatan, kos mengerjakan rukun Islam kelima itu, hakikatnya disifatkan masih lagi antara yang terendah di rantau ini berikutan pengekalan Bantuan Kewangan Haji atau subsidi haji oleh TH walaupun dilakukan secara bersasar.
Negara jiran seperti Thailand dan Indonesia tidak terkecuali menerima kesan yang sama malah keadaan ini dijangka turut memberi kesan ke atas jumlah jemaah yang mendaftar untuk musim haji akan datang.
TERIMA PENINGKATAN KOS HAJI
Situasi ini diakui pengendali jemaah haji dan umrah Thailand, Suwandee Yusohhem yang memberitahu Bernama, peningkatan kos memungkinkan kuota haji yang diperuntukkan kepada jemaah Thailand tidak dapat dipenuhi.
Menurut beliau, setakat ini seramai 4,000 orang mendaftar untuk musim haji 2024 dan hanya tinggal berbaki dua bulan sahaja lagi untuk pihaknya memenuhkan kuota sebanyak 13,000.
"Mungkin akibat peningkatan kos tidak ramai yang akan mendaftar dan saya jangka sehingga tamat tempoh itu, mungkin akan ada tambahan sekitar 1,000 jemaah sahaja.
"Kuota haji Thailand yang tidak dipenuhi sebelum Januari 2024 akan dipulangkan semula kepada Arab Saudi,'' katanya.
Menurut Suwandee yang juga Pengarah Urusan Chana Travel and Tour pada musim haji tahun ini, agensi pengendali Thailand meletakkan pakej haji sekitar 275,000 baht seorang atau RM36,000 berbanding musim lalu iaitu kira-kira 235,309 baht atau RM31,000.
"Selain cukai yang dikenakan kerajaan Arab Saudi, punca lain yang mendorong peningkatan bayaran haji di negara ini adalah peningkatan harga penginapan, makan dan minum, penerbangan serta kelemahan nilai mata wang di beberapa negara tertentu termasuk Thailand,'' katanya.
Beliau menambah, antara faktor yang menyebabkan umat Islam di negara itu terpaksa menolak untuk mendaftar haji kerana mereka tidak mempunyai institusi seperti TH yang mana mereka perlu membuat tabungan sendiri.
Berdasarkan pertemuan bersama wakil kerajaan Arab Saudi baru-baru ini, Suwandee berkata, jemaah perlu menerima situasi peningkatan kos secara terbuka dengan berbalik kepada konsep kemampuan (istito'ah) sepertimana yang disyaratkan dalam mengerjakan ibadah tersebut.
"Kos haji naik, semua jemaah perlu terima, kerana itu pada pertemuan saya dengan wakil Arab Saudi turut menekankan kepada konsep berkemampuan terutamanya daripada sudut kewangan", tambah beliau.
"Bagi mereka kuota haji perlu diutamakan untuk mereka yang wajib menunaikan haji di atas faktor berkemampuan, bagi yang tidak mampu tiada keperluan untuk melaksanakan ibadat tersebut", tambahnya yang turut memuji kerajaan Malaysia kerana masih mengekalkan Bantuan Kewangan Haji bagi membantu umat Islam negara ini mengerjakan haji.
Sebelum ini, TH mengenal pasti lima faktor yang mempengaruhi kenaikan kos ibadat haji iaitu inflasi, mata wang, cukai, peningkatan kualiti perkhidmatan dan pembangunan di Makkah serta Madinah.
Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar dipetik berkata, TH akan tetap sedaya upaya meneruskan Bantuan Kewangan Haji secara bersasar untuk musim haji 1445H/2024M khususnya membabitkan jemaah B40 dan M40.
Untuk musim haji tahun ini, sebanyak RM265 juta dibelanjakan oleh TH bagi membantu golongan memerlukan dan berkelayakan menunaikan ibadat tersebut.
INDONESIA KURANGKAN SUBSIDI HAJI
Selain Malaysia, Indonesia turut mengamalkan pemberian Bantuan Kewangan Haji apabila rakyatnya hanya perlu membayar sebahagian daripada kos mengerjakan ibadat tersebut manakala selebihnya menerusi bantuan kerajaan.
Menteri Penyelaras Bidang Pembangunan Manusia dan Kebudayaan (PMK) Indonesia, Muhadjir Effendy sebelum ini dipetik berkata, kenaikan kos tersebut tidak dapat dielakkan berdasarkan situasi ekonomi semasa.
Oleh yang demikian, beliau mencadangkan supaya kenaikan kos itu dibuat secara berperingkat agar tidak membebankan jemaah.
Manakala Direktur Penyelenggara Haji Luar Negeri, Kementerian Agama Indonesia Subhan Cholid berkata, pada musim haji tahun ini, jemaah di negara itu membayar Biaya Perjalanan Ibadah Haji (Bipih ) berjumlah 49.812 juta rupiah (RM14932.89).
Bipih adalah bayaran haji yang perlu dibayar oleh warganegara tersebut untuk menunaikan ibadah haji.
''Bagi subsidi haji pula Indonesia telah memperuntukkan 55.3 peratus subsidi haji bagi tahun ini berbanding tahun lalu sebanyak 59.21 peratus. Hal tersebut dilakukan bagi menjaga kelestarian kewangan haji,'' katanya.
Indonesia sebelum ini dilaporkan meningkatkan bayaran haji lebih 70 peratus tahun ini apabila turut terkesan dengan cabaran semasa tersebut sekali gus membuktikan faktor luar kawalan tidak dapat dielakkan.
TH TAMPUNG PENINGKATAN KOS
Memahami bukan mudah untuk menerima hakikat peningkatan kos haji, pensyarah kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin berkata, kenaikan kos mengerjakan ibadat haji sebenarnya bukanlah fenomena yang luar biasa atau baharu.
Ini kerana, katanya, kenaikan kos haji sememangnya berlaku saban tahun namun tidak ramai yang menyedarinya kerana ditampung Bantuan Kewangan Haji yang diberikan kepada semua jemaah haji tanpa ada sasaran, sehinggalah pada musim haji tahun ini apabila Bantuan Kewangan Haji bersasar dilaksanakan.
"Peningkatan kos mengerjakan haji sebenarnya berlaku setiap tahun tetapi ramai tidak sedar disebabkan TH sebelum ini memberikan Bantuan Kewangan Haji kepada semua jemaah haji sehingga kos tambahan yang ditanggung oleh TH melebihi separuh daripada kos keseluruhannya.
"Jemaah haji mula merasakan ada kenaikan kos apabila TH menstrukturkan semula pemberian Bantuan Kewangan Haji mengikut kategori pendapatan dan mula mempersoalkan mengapa ada kenaikan sedangkan ini bukan perkara baharu," katanya.
Walhal peningkatan bayaran haji itu sebenarnya seiring dengan kualiti perkhidmatan dan kemudahan yang ditawarkan kepada jemaah dan kerana itu mereka sebaiknya perlu peka dengan kos semasa untuk melaksanakan ibadat berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berpandangan TH perlu membuat pemilihan bakal jemaah dengan teliti berdasarkan kepada kemampuan mereka membiayai kos haji.
Ini sejajar dengan pendekatan maqasid syariah (matlamat dalam setiap hukum syarak) iaitu kewajipan menunaikan fardu haji bagi mereka yang berkemampuan termasuk dari segi kewangan.
''Penekanan perlu diberikan kepada mereka yang berkemampuan bagi mengurangkan tempoh atau masa giliran menunggu haji. Pelaksanaan ibadah haji harus diberikan kepada mereka yang benar-benar memenuhi kriteria istito'ah (berkemampuan).
''Pemberian Bantuan Kewangan Haji ini sekiranya tidak dilakukan sebarang pembaharuan bukan sahaja akan membebankan TH bahkan turut memberi kesan dan salah tanggapan masyarakat terhadap kos sebenar menunaikan haji,'' katanya.
KEKALKAN SUBSIDI BERSASAR
Sementara itu, keperluan penetapan Bantuan Kewangan Haji bersasar adalah wajar kerana disifatkan berupaya membantu kelangsungan operasi TH, kata pensyarah Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr. Ahmad Zakirullah Mohamed Shaarani.
Ini kerana, TH tidak akan mampu untuk memberi Bantuan Kewangan Haji kepada semua pencarumnya yang berhasrat untuk menunaikan ibadat haji memandangkan kos mengerjakan ibadat tersebut meningkat saban tahun.
"Pemberian Bantuan Kewangan Haji harus terhad kepada mereka yang layak sahaja dan kita lihat langkah ini terbaik dalam menguruskan kewangan TH.
''Mungkin pemberian Bantuan Kewangan Haji ini tidak dapat membendung kenaikan kos haji, namun sekurang-kurangnya ia memberi peluang kepada pencarum yang memang kurang berkemampuan untuk turut sama merasai pengalaman mengerjakan ibadat haji,'' katanya.
Beliau turut berpandangan bakal jemaah haji yang mengambil pakej haji swasta tidak begitu terkesan berikutan kebanyakan mereka merupakan golongan yang berkemampuan yang mampu membuat bayaran penuh kos haji.
''Jika berkemampuan, apa salahnya memilih pakej haji swasta dan tidak perlu bergantung pada Bantuan Kewangan Haji daripada TH. Walaupun bayaran agak mahal, namun bakal haji mampu menikmati kemudahan terbaik yang disediakan pengendali haji swasta,'' katanya. - BERNAMA
Bernama
Sat Nov 11 2023
Kos mengerjakan haji pada musim hadapan bagi seorang jemaah Muassasah akan menjadi sebanyak RM34,000 seorang berbanding RM30,850 pada tahun ini (2023). - AP
Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut langgar kenderaan keluar simpang
Kejadian berlaku melibatkan dua kenderaan iaitu motosikal berkuasa besar Honda CBR dan Mistubishi Pajero.
Media sosial Barat banyak temberang, hapuskan aplikasi mereka - Duta BRICS
Nasser berkata, untuk melemahkan doktrin Barat, perlu hapuskan aplikasi ciptaan mereka dan sokong media baharu yang adil dalam pelaporan.
Juadah Malaysia: Raikan nostalgia diaspora, pikat selera Kemboja di Phnom Penh
Juadah ini menyampaikan mesej yang mendalam, melangkaui sempadan dan membangkitkan rasa identiti Malaysia.
Dengan deria bau tajam, tikus Afrika kesan penyeludupan hidupan liar
Tikus besar ini menggunakan deria bau mereka yang tajam untuk membantu mengesan penyeludup dan melindungi spesies terancam.
Kerajaan Punjab, Pakistan tutup sekolah untuk kanak-kanak berisiko tinggi kerana kualiti udara memburuk
Pada Khamis, Lahore mencatatkan AQI sebanyak 201, mendorong kerajaan mengisytiharkan kabus asap sebagai 'bencana'.
Pemilik majoriti alu-alukan hasrat syarikat global mahu beli KDA FC
Beliau berkata kesediaan dan keberanian syarikat itu untuk membeli keseluruhan pegangan saham KDA FC amat dihargai.
Jerman akan tutup tiga konsulat Iran selepas pelaksanaan hukuman mati lelaki dua kerakyatan
Langkah ini melibatkan perwakilan Iran di Hamburg, Frankfurt dan Munich, namun tidak termasuk kedutaan di Berlin.
Operasi mencari diteruskan selepas ribut di Sepanyol ragut sekurang-kurangnya 158 nyawa
Sekurang-kurangnya 155 kematian direkodkan di Valencia, kawasan yang paling teruk terjejas.
Polis buru lelaki di Berlin selepas tinggalkan bahan letupan di stesen kereta api
Penyiasat terus mencari lelaki itu yang melarikan diri dari tempat kejadian di stesen kereta api Neukolln, selatan Berlin.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dahului senarai penerima darjah, pingat kebesaran Perak
Syed Danial, 80 tahun, dianugerahkan darjah tertinggi negeri iaitu Darjah Dato' Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Program Kepimpinan Muda TH siri kedua perkasa sahsiah kepimpinan pelajar
Lembaga Tabung Haji (TH) meneruskan usaha melestarikan pemerkasaan dan pembangunan sahsiah kepimpinan pelajar melalui Program Kepimpinan Muda TH siri kedua melibatkan 90 orang pelajar.
TH tubuh Rajih tingkat kecekapan, kajian isu manasik haji
Mohd Naim berkata, Rajih akan bertindak mengurus dan meneliti kajian-kajian semasa yang melibatkan hal ehwal manasik haji.
TH dukung aspirasi kerajaan, tingkat upaya penduduk menerusi Program Santuni MADANI
TH komited dukung aspirasi kerajaan menerusi Program Santuni MADANI: Satu Pemimpin, Satu Kampung sebagai usaha meningkatkan potensi kampung.
31 Sahabat Korporat TH sumbang RM4.8 juta kepada jemaah haji Malaysia
Lembaga Tabung Haji menerima sumbangan RM4.8 juta daripada 31 syarikat korporat melalui program Sahabat Koporat TH bagi membantu jemaah haji Malaysia.
Arab Saudi iktiraf pencapaian Malaysia dalam pengurusan jemaah haji
Kejayaan kerajaan Malaysia dalam pengurusan jemaah haji melalui Tabung Haji boleh menjadi model terbaik untuk dicontohi dan diterapkan negara lain.
TH sambut baik inisiatif perkasa Ekonomi MADANI
TH juga beriltizam untuk mengukuhkan kelestarian impak sosial negara menerusi instrumen kewangan Islam.
Tabung Haji komited jayakan inisiatif Ekonomi MADANI, perkasa saluran bantuan
Sejak penubuhannya, TH telah salurkan zakat berjumlah RM1.37 bilion kepada Majlis Agama Islam negeri untuk diagihkan kepada golongan asnaf.
Operasi haji memuaskan, Arab Saudi anggap pengurusan TH terbaik - Mohd Na'im
Perkara berkenaan dizahirkan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah secara peribadi kepadanya baru-baru ini.
PPZ-MAIWP catat RM511 juta kutipan zakat tahun ini, naik 10 peratus
PPZ-MAIWP mencatat kutipan zakat sebanyak RM511 juta dari Januari hingga Jun tahun ini dengan peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding tempoh sama pada 2023.
Pembaharuan aplikasi THiJARI tingkat keselamatan tabungan pendeposit
Kerajaan memberi jaminan perkhidmatan aplikasi THiJARI milik Lembaga Tabung Haji selamat digunakan walaupun terdapat beberapa pembaharuan.