Thaipusam: Polis kerah 28 anggota, kawal ketat Kuil Sri Subramaniam

Adie Sufian Zulkefli
Januari 27, 2021 22:45 MYT
Anggota Polis akan membuat pemantauan di sekitar luar kuil sempena perayaan Thaipusam yang disambut hari ini, ketika tinjauan di Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam di Sungai Petani malam tadi. --fotoBERNAMA
SUNGAI PETANI: Sebanyak 28 anggota polis ditempatkan di Kuil Sri Subramaniam, di sini, sempena perayaan Thaipusam hari ini, bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
Selain itu, anggota dari Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) turut diarahkan mengawal pintu utama dan belakang kuil tersebut supaya tiada penganut yang cuba menceroboh masuk ke dalam kuil.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah, langkah tersebut berdasarkan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang membenarkan hanya lima orang berada di kuil sepanjang perayaan itu berlangsung.
Jumlah itu hanya membabitkan ahli jawatankuasa kuil dan petugas di kuil.
“Kami turut terima bantuan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) yang berada di sekitar, kerana kami jangkakan kemungkinan ada penganut yang teruja mengadakan sembahyang dan datang tengok.
“Oleh itu, kami bukan sahaja sediakan pasukan di sini, tetapi pasukan ini juga akan memantau.
“Kami tahu selain daripada kuil ini, terdapat kuil-kuil lain yang dulu sambutannya membawa kavadi. Jadi kami pastikan perkara tersebut tidak berlaku,” kata Adzli.
BACA: Thaipusam: Pergerakan pedati Perak P.Pinang diluluskan MKN
BACA: Thaipusam: Hanya petugas dibenarkan bawa patung Dewa Murugan, tiada perarakan pengikut
Terdahulu, Adzli mengadakan perjumpaan awal dengan pihak kuil malam tadi bagi memaklumkan prosedur operasi standard (SOP) terbaharu MKN yang perlu dipatuhi.
Adzli berkata, sebelum ini, ada yang datang membawa kavadi dan kali ini pihaknya akan memastikan semua ini tidak berlaku dalam usaha mengurangkan penularan jangkitan COVID-19.
Amaran tegas turut dikeluarkan kepada individu yang cuba mengambil kesempatan menceroboh masuk ke dalam kuil.
Polis tidak akan berkompromi dan bertolak ansur di mana mereka akan mengambil tindakan termasuk mengeluarkan kompaun RM1,000 kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau berpuas hati kerana jawatankuasa kuil mengambil inisiatif menggantung poster di hadapan kuil selain memaklumkan perkara ini kepada penganut agama mereka melalui laman sosial Facebook, WhatsApp dan sebagainya agar tidak datang.
BACA: Thaipusam: Pulau Pinang tetap tidak benarkan perarakan pedati
Kuil Sri Mariaman ini merupakan ketiga terbesar selain di Batu Caves dan Pulau Pinang di mana sambutan tahun lalu mencecah 16,000 orang.
Sementara itu, bagi Pengerusi Kuil, Rajendren Veriasamy pihaknya akan memastikan sambutan Thaipusam dalam norma baharu ini tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.
“Kami mengambil langkah yang disyorkan MKN. Kami ikut langkah dan SOP.
“Penganut yang datang ke kuil mesti memakai topeng dan kami akan memeriksa semua yang hadir.
“Masalah yang kami perlu atasi ialah memberitahu penganut agama bahawa masalah di sini ialah COVID-19 dan kami perlu patuh pada SOP,” katanya.
#Thaipusam #Kuil Sri Subramaniam #COVID-19 #Sungai Petani #Majlis Keselamatan Negara #polis #SOP #Batu Caves #perintah kawalan pergerakan #PKP #penganut #Adzli Abu Shah #keselamatan #operasi