Skip to main content

Malaysia

'Therapaint Plus' angkat SMK Bukit Rangin raih tiga pingat pertandingan inovasi

Rangin Emas
Rizuan (kiri ) berkata, 'Therapaint Plus' merupakan satu inovasi holistik dan inklusif yang dibangunkan khusus untuk murid yang tidak mempunyai akses kepada subjek Pendidikan Seni Visual secara formal di sekolah. - Foto/ Astro AWANI

KUANTAN: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin (BRASS) melakar pencapaian membanggakan apabila merangkul dua pingat emas dan satu pingat gangsa dalam pertandingan Innopintar@ Citrex 2026: Young Innovators Challenge baru-baru ini.

Kejayaan itu dicapai menerusi inovasi ‘Therapaint Plus: The Art of Learning through Science and Language’, iaitu satu pendekatan pembelajaran berasaskan projek (Project-Based Learning, PBL) yang menggabungkan kepakaran empat guru, Rizuan Shah Hapipi, Asiah Jusoh, Nurul Ashikin Che Mahmood dan Fauziah Abd Halim. 

Rizuan yang juga Ketua Penyelia Projek, berkata Therapaint Plus merupakan satu inovasi holistik dan inklusif yang dibangunkan khusus untuk murid yang tidak mempunyai akses kepada subjek Pendidikan Seni Visual secara formal di sekolah, terutamanya murid dalam aliran Sains Tulen, STEM dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Beliau yang sebelum ini turut meraih Anugerah Khas TISF Global Educator Award serta pingat emas di Terengganu International Science Fair, menjelaskan bahawa inovasi tersebut membuka ruang pembelajaran alternatif yang lebih bermakna kepada murid.

“Inovasi ini membolehkan murid menguasai topik-topik sukar dalam subjek masing-masing menerusi pendekatan terapi dan seni. 

"Kaedah ini bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan pembelajaran, malah berupaya merapatkan jurang prestasi akademik murid,” katanya.

Selain kejayaan Therapaint Plus, SMK Bukit Rangin turut meraih pingat emas kedua menerusi projek ‘Charica++ Biolarvicide’, manakala projek ‘FiberMat’ membawa pulang pingat gangsa dalam pertandingan yang sama.

Sementara itu, Pengetua SMK Bukit Rangin, Normaniza Mansor menegaskan bahawa kejayaan tersebut membuktikan keperluan sistem pendidikan masa kini untuk bergerak melangkaui pendekatan silo antara disiplin ilmu.

"Pendidikan abad ke-21 menuntut integrasi pelbagai bidang bagi melahirkan generasi murid yang lebih kompetitif dan seimbang.

"Sokongan berterusan terhadap inovasi guru dan murid merupakan kunci utama kepada kecemerlangan pendidikan,” ujarnya.

Must Watch Video