TI-M cadang perkenalkan Akta Dana Politik bagi kurangkan rasuah politik

Transparency International -Malaysia (TI-M) mencadangkan memperkenalkan akta baharu iaitu Akta Dana Politik.

Akhbar sewaktu berucap di forum Political Funding in Malaysia- The European Experience di Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto Astro AWANI/SAHLIZAH MOHAMED | Astro Awani
Transparency International -Malaysia (TI-M) mencadangkan memperkenalkan akta baharu iaitu Akta Dana Politik.

Presidennya, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, ia bertujuan mengurangkan rasuah politik dan pemberian daripada pihak-pihak tertentu.

“Kita patut masukkan ia ke dalam akta ini supaya rakyat kita apabila hendak mengundi atau ada pilihan raya dapat mengelakkan daripada melakukan rasuah dan terlibat dalam dana politik.

“Sebabnya kebanyakan ahli politik kita memasukkan wang iaitu sumbangan politik ke dalam akaun mereka sendiri,” katanya ketika ditemui pada sidang media forum Political Funding in Malaysia- The European Experience di Kuala Lumpur pada Khamis.

Forum berkenaan membincangkan topik berkenaan undang-undang dana politik di Eropah dari tiga negara iaitu Belanda, Norway dan Jerman.

Mengulas lanjut, Akhbar memberitahu, akta baharu itu dijangka mampu mengelakkan berlakunya penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Tidak ada lagi wang-wang sumbangan kepada parti politik yang disalahgunakan.

“Kita dapati semasa pilihan raya di Cameron Highlands di Pahang baru-baru ini dan banyak lagi tempat masih lagi berlaku kegiatan rasuah yang mana ia tidak patut berlaku pada masa pentadbiran kerajaan baharu ini,” katanya.

Terdahulu, Akhbar turut berharap agar kerajaan dapat mengambil contoh atau modul terbaik dari ketiga-tiga negara itu supaya tidak lagi wujud isu politik wang setiap kali menjelang pilihan raya.