KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan tidak menerima sebarang aduan mengenai kenaikan harga atau kekurangan bekalan gula pasir kasar dan halus sehingga sekarang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, beliau telah mengarahkan Ops Manis dilanjutkan selama sebulan bagi memantau harga dan stok gula itu.

Jelasnya, ia berikutan kebenaran kerajaan kepada dua syarikat pengeluar gula MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) mengeluarkan gula putih bertapis jernih.

"Jadi sudah hari keempat pengumuman itu rakyat tidak perlu bimbang kerana bekalan cukup dan harga tidak naik itu yang penting, harga gula bertapis kasar tetap pada harga RM2.85, harga gula bertapis halus tetap pada harga RM2.95. Tidak berlaku sebarang kenaikan dan bekalan ada di pasaran. Itu yang penting," katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media pelancaran menu rahmah KFC dan Pizza Hut di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada Isnin.

Tambah beliau, kedua-dua syarikat masih perlu memastikan sebanyak 42,000 tan metrik gula bertapis kasar dan halus berada di pasaran.

Dalam pada itu, Salahuddin memaklumkan Inisiatif Menu Rahmah berjaya menyumbang kepada pengurangan kadar inflasi harga makanan di luar rumah (makan di kedai) buat pertama kali sejak Ogos 2021.

"Kadari inflasi makanan di luar rumah menurun daripada 9.6 peratus kepada 9.3 peratus sejak inisiatif yang dipelopori pengusaha makanan secara sukarela itu diperkenalkan pada Januari lepas," katanya. 

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata inisiatif itu juga didapati secara purata berupaya meningkatkan jualan syarikat yang menyertainya sebanyak 25 hingga 30 peratus.

"Sebab itu mereka (syarikat) telah menamakan inisiatif Menu Rahmah ini sebagai crowd puller... Manfaat dari segi jumlah itu yang telah menjadi tarikan (bagi syarikat menyertai) dan ia memberikan keuntungan kepada syarikat," ujarnya.