KUCHING:Sarawak mempertingkat tahap keselamatan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) mangsa banjir di negeri itu bagi mengelak risiko jangkitan COVID-19.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak (KWKPK) Datuk Seri Fatimah Abdullah memaklumkan antara aktiviti yang tidak lagi dibenarkan termasuklah memasak.

"Tidak ada aktiviti memasak di pusat pemindahan ketika pandemik Covid-19.

"Kalau dahulu memang ada, tapi sekarang tidak ada lagi, kami akan sediakan makanan yang telah siap dimasak kepada mangsa banjir," jelasnya.

Tambah Fatimah larangan berkenaan terkandung dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) yang  diperbaharui oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) bagi membendung penularan virus itu.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Geran Badan Bukan Kerajaan(NGO) KWKPK kepada Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Pusat Perkhidmatan Warga Emas (PPWE) dan Pusat Pemulihan dalam Komuniti (PDK) Kuching di PDK Satok pada Sabtu.

Fatimah turut memaklumkan mengenai peruntukan berjumlah RM400,000 oleh Kerajaan Sarawak bagi mempersiapkan pusat pemindahan banjir dengan fasiliti dan kelengkapan asas.

Selain itu ada juga bantuan khas banjir kepada petugas barisan hadapan dan mangsa yang tidak berpindah.

"Bekalan ini khas untuk kawasan yang mana mangsanya tidak berpindah ke pusat pemindahan kerana kebiasaanya, lokasi tempat ini berada jauh daripada tempat untuk mendapatkan bekalan makanan," jelas Fatimah.

Tambahnya lagi 548 sukarelawan kebajikan telah bersiap sedia bagi membantu proses menyelamat mangsa banjir sekiranya ia berlaku.