PUTRAJAYA:Tiada sebarang bukti yang mengesahkan virus COVID-19 boleh tersebar melalui makanan atau bungkusannya, seperti yang dilaporkan media di China, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) virus itu hanya tersebar melalui titisan cecair atau kontak rapat dengan individu yang disahkan positif.

"Tidak mungkin seseorang itu boleh dijangkiti COVID-19 melalui makanan atau bungkusan makanan.

"Punca utama jangkitan ini adalah melalui titisan cecair atau kontak rapat. Sehingga kini tidak ada bukti yang menunjukkan COVID-19 boleh menular melalui makanan atau bungkusan makanan," katanya pada sidang media di sini pada Isnin.


Dalam pada itu ditanya mengenai perkembangan vaksin COVID-19, Noor Hisham berkata, setakat ini sembilan data kajian berada pada fasa ketiga klinikal, namun belum ada data yang diumumkan kepada orang ramai.

"Kita akan lihat pada keberkesanan dan komplikasi. Jika komplikasi itu tinggi maka akan ada isu sama ada kita mahu menggunakan vaksin itu atau sebaliknya.

"Keselamatan adalah penting kepada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia). Kita perlu pastikan vaksin yang diberikan adalah selamat, jadi kita kena tunggu data vaksin tersebut.

"Kalau ada komplikasi, kita (KKM) yang tanggung bukan syarikat berkenaan," jelasnya.

Pun begitu katanya, vaksin yang sedia ada pada ketika ini adalah pada peringkat kajian. 

Beliau juga menyatakan kesediaan sekiranya Malaysia dijadikan sebagai hub kajian vaksin.