PUTRAJAYA: Hujah pendakwaan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak cuba mempengaruhi Kabinet bagi membolehkan SRC International mendapat dana RM4 bilion Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), adalah sesuatu yang gagal mereka buktikan, Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini.

Ketua Peguam Bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, bukti dan keterangan sebelum ini menunjukkan tiada hubung kait antara dana tersebut, dengan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri sewaktu mempengerusikan dua mesyuarat kabinet yang berkaitan.

Sebaliknya, beliau berhujah, keputusan Kabinet dalam memberi dua Jaminan Kerajaan (GG) kepada SRC International merupakan keputusan konsesus, bukannya keputusan peribadi Najib seorang.

Susulan itu, Muhammad Shafee berhujah, pertuduhan salah guna kuasa di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, adalah salah, dan menyalahi undang-undang.

“Saya katakan pertuduhan (penyalahgunaan kuasa) ini di bawah Seksyen 23 adalah salah dan menyalahi undang-undang. Apabila Najib duduk dalam mesyuarat Kabinet itu, beliau tidak boleh duduk dan membuat keputusan sendiri (seperti mengikut pertuduhan).

“Kabinet membuat keputusan secara bersama. Keputusan itu bukan dibuat oleh Najib sebagai individu, Perdana Menteri, Menteri Kewangan, atau sebagai wakil Menteri Kewangan Diperbadankan,” hujahnya di hadapan tiga panel hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, hari ini.

Dua lagi Hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar prosiding itu ialah Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Salah satu daripada tujuh pertuduhan ialah Najib, sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, telah menggunakan jawatan untuk suapan apabila terlibat dalam keputusan bagi pihak Kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman KWAP.

Pertuduhan itu dilakukan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah seksyen 24 Akta yang sama.

Muhammad Shafee ketika berhujah lanjut berkata, berdasarkan bukti dan keterangan yang diberikan saksi berkaitan sewaktu peringkat awal perbicaraan, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali sepatutnya memutuskan tiada kes prima facie terhadap Ahli Parlimen Pekan itu.

“Bagaimanapun, dalam usaha menyelamatkan kes pendakwaan, Hakim (Mohd Nazlan) terus memanjangkan asas kes, yang akhirnya menyebabkan anak guam saya disabitkan, dengan cara mengalih tumpuan perbicaraan daripada jumlah asal RM42 juta, kepada dana yang lebih besar yang diterima SRC International sebagai niat mendapatkan rasuah.

“Dengan berbuat demikian, Hakim membuat keadaan menjadi lebih buruk lagi kepada perayu (Najib), dengan menimbulkan prejudis yang tidak dapat diperbaiki lagi, selepas menjatuhkan hukuman kepada perayu berdasarkan perkara yang tidak timbul pada peringkat awal pendakwaan,” katanya lagi.