MALAYSIA
Tiada bukti sahih berhubung lokasi Jho Low, penggunaan pasport - Saifuddin

Saifuddin Nasution (tengah) berkata hasil semakan dan maklumat yang diterima setakat ini tidak menemukan sebarang bukti atau fakta sokongan yang sahih berhubung lokasi semasa Jho Low mahupun penggunaan pasport oleh individu berkenaan. -Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus menjalinkan kerjasama erat dan berterusan dengan pihak berkuasa serta agensi penguat kuasa antarabangsa bagi mengesan keberadaan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.
Ringkasan AI
- Kementerian Dalam Negeri melalui PDRM terus bekerjasama dengan agensi antarabangsa untuk mengesan keberadaan Jho Low, namun tiada bukti sahih berhubung lokasi atau penggunaan pasport beliau setakat ini.
- Dakwaan bahawa Jho Low menetap di Shanghai menggunakan pasport Australia palsu masih belum disokong dengan bukti dan kekal sebagai spekulasi.
- Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) akan dipindahkan ke Cyberjaya pada September dengan penambahan perjawatan dan penyertaan dua agensi baharu bagi memperkukuh fungsinya.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata hasil semakan dan maklumat yang diterima setakat ini tidak menemukan sebarang bukti atau fakta sokongan yang sahih berhubung lokasi semasa Jho Low mahupun penggunaan pasport oleh individu berkenaan.
"Berhubung laporan tertentu yang mengaitkan lokasi serta penggunaan pasport oleh individu itu, saya tegaskan bahawa perkara berkenaan belum disokong dengan apa-apa bukti sah sehingga kini.
"Jadi ia kekal sebagai dakwaan," katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC), di sini, hari ini.
Baru-baru ini, terdapat dakwaan menyatakan Jho Low yang terlibat skandal 1MDB kini menetap di sebuah kawasan elit di Shanghai, China menggunakan pasport Australia yang palsu.
Mengenai NSRC, Saifuddin berkata pusat operasi NSRC sedia ada akan dipindahkan ke premis sendiri di Cyberjaya pada September ini dan premis ini akan dilengkapi kemudahan terkini dan ruang lebih luas serta kaunter aduan bagi memudahkan orang ramai membuat aduan secara fizikal.
"Keputusan itu (memindahkan pusat operasi) akan disertai dengan penambahan perjawatan 139 dan pertambahan agensi juga. Sekarang ini saya sebut empat tapi secara prinsipnya, kita bersetuju juga untuk menerima penyertaan dua lagi agensi, iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan juga Suruhanjaya Sekuriti.
"Jadi ini ke arah pengukuhan lagi supaya penyertaan dua agensi baharu itu tambahan kepada empat (agensi) sedia ada (dan) dengan sendirinya kedudukan NSRC itu akan lebih dapat memenuhi fungsinya," katanya.
Ketika ini keanggotaan NSRC terdiri empat agensi, iaitu PDRM, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami