Kementerian Kewangan tidak mengamalkan sebarang diskriminasi berhubung agihan perolehan cukai pelancongan antara Sabah, Sarawak dan negeri lain di Malaysia, kata Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen.

Chieng Jen, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, berkata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, mendapat maklumat yang salah dan membuat dakwaan palsu terhadap Kerajaan Persekutuan.

Abdul Karim pada minggu lepas mendakwa bahawa, Sabah sudah menerima perkongsian 50 peratus agihan perolehan cukai pelancongan daripada Kerajaan Persekutuan, tetapi Sarawak belum menerima bahagian mereka.

"Sebaik sahaja membaca kenyataan Abdul Karim, saya segera periksa dengan Kementerian Kewangan berhubung dakwaan itu. Saya diberitahu bahawa, dakwaan itu tidak berasas dan tidak benar.

"Hakikatnya, kesemua negeri akan hanya menerima bahagian yang adil masing-masing cukai pelancongan berkenaan pada suku pertama 2019," katanya dalam satu kenyataan.

Pada Selasa, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Christina Liew, turut mengesahkan bahawa Sabah belum menerima bahagian mereka berhubung perolehan cukai pelancongan berkenaan.

Chieng Jen berkata, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, pada 2 November lepas, sewaktu membentangkan Belanjawan 2019, mengumumkan bahawa, agihan perkongsian perolehan cukai pelancongan kesemua negeri akan dibayar pada 2019.

"Ini baru minggu pertama (penuh) 2019. Akaun perlu disahkan dan dimuktamadkan selain mengatur pembayaran. Kenapa Abdul Karim begitu berminat untuk mendapatkan wang berkenaan sehingga membuat dakwaan tidak berasas?" tanya beliau.

"Christina Liew sudah mengesahkan bahawa Sabah juga belum menerima agihan cukai pelancongan itu, apa yang Abdul Karim akan buat berhubung maklumat yang salah dan dakwaannya yang tidak benar?

"Perlu dijelaskan bahawa, Kerajaan Persekutuan mula mengutip cukai pelancongan pada September 2017. Sewaktu kerajaan Barisan Nasional (BN) membentangkan Belanjawan 2018, tiada yang diperuntukkan bagi pembayaran 50 peratus cukai pelancongan kepada Sarawak dan negeri lain. Sudah pasti, Sarawak tidak mendapat 50 peratus cukai pelancongannya sebagaimana janji lisan yang dibuat kerajaan BN.

"Hanya apabila Pakatan Harapan mengambil alih Kerajaan Persekutuan dan dalam Belanjawan pertamanya (Belanjawan 2019), kerajaan baharu ini berjanji memulangkan 50 peratus cukai pelancongan kepada semua negeri, termasuk Sarawak," katanya.

Beliau berkata, seperti yang dinyatakan Menteri Kewangan, agihan cukai pelancongan masing-masing negeri sehingga 31 Disember 2018 akan dibayar pada suku pertama 2019, termasuk cukai yang dikutip di bawah kerajaan terhadahulu yang mana masih belum dibayar.

Sudah pasti sebagai sebahagian daripada kerajaan, Abdul Karim sedar tiga bulan untuk memuktamadkan akaun dan membuat pembayaran terutama apabila ia membabitkan berjuta ringgit, adalah tempoh masa yang munasabah, katanya.

"Saya memberi jaminan kepada Abdul Karim bahawa jika agihan 50 peratus cukai pelancongan tidak dibayar kepada kerajaan negeri dalam masa suku pertama 2019, saya akan menyatakan bantahan kepada Menteri Kewangan," tambahnya.

-- BERNAMA