KUALA LUMPUR: Tiada entiti tunggal di negara ini yang boleh menyelesaikan isu yang semakin kompleks seperti perubahan iklim, keselamatan makanan dan pembangunan ekonomi.

Sebaliknya jelas Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, sebaliknya semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan, komuniti, badan bukan kerajaan perlu bekerjasama dalam menangani isu terbabit.

"Saya menegaskan bahawa isu yang kita hadapi secara kolektif semuanya sangat kompleks. Tiada entiti tunggal, atau pihak mempunyai berkuasa atau berpengaruh, boleh menangani isu dengan sendirinya.

"Ia memerlukan penglibatan dengan pelbagai pihak berkepentingan - pelbagai tawaran - sama ada komuniti tempatan, kerajaan atau NGO.

"Bayangkan seperti Perubahan Iklim atau Keselamatan Makanan atau Pembangunan Ekonomi cuba ditangani tetapi hanya dengan dasar awam, atau hanya dengan modal pelaburan. Ia tidak mungkin (diselesaikan)," katanya.

Justeru jelasnya, menerusi kerjasama semua pihak serta kesalinghubungan politik dan ekonomi di negara ini dijangka menjadi satu pasukan yang kuat dalam menangani isu-isu melanda negara.

"Jadi, jika digabungkan, tesis berkenaan kesalinghubungan antara politik dan ekonomi ini serta keperluan pihak berkepentingan membentuk gabungan ke arah pembangunan mampan, adalah satu tesis yang kuat," katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya di Forum Khazanah Megatrends (KMF) 2023 di ibu negara pada Isnin.