Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tidak mengesan bahan bahaya yang menyebabkan seorang lelaki warga Bangladesh maut manakala dua rakannya separuh sedar ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan saluran paip gas di sebuah stesen minyak di Jalan Ipoh - Lumut di sini, pada Sabtu.

Menurut laporan JBPM Negeri Perak, pasukan itu telah dipanggil ke lokasi kejadian untuk membuat pemantauan keadaan pengudaraan di lokasi berkenaan.

“Hasil pemantauan pasukan Hazmat, tiada bacaan bahan-bahan bahaya di lokasi tersebut, hanya berlaku kekurangan oksigen di manhole yang menyebabkan kematian atau kesesakan nafas kepada mangsa-mangsa tersebut,” katanya di sini.

Dalam kejadian pada Sabtu, seorang lelaki warga Bangladesh maut manakala dua rakan sekerjanya separuh sedar selepas dipercayai terhidu gas beracun ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan saluran paip gas di sebuah stesen minyak di Jalan Ipoh - Lumut di sini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.40 malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, warga Bangladesh dan seorang lelaki tempatan yang mengalami kecederaan dilaporkan stabil dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Katanya, warga Bangladesh yang maut berumur 27 tahun manakala yang cedera berumur 30 tahun dan lelaki tempatan berumur 27 tahun yang beralamat di Klang, Selangor.