MALAYSIA
'Tiada insan tidak lakukan kesilapan' - Muhyiddin minta Anwar mohon maaf

Muhyiddin menggesa Anwar memohon maaf kerana mendakwa beliau mempertahankan hak warga asing dalam penyasaran subsidi RON95. - Gambar fail
KUALA LUMPUPR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menarik balik kenyataannya dalam Parlimen pada Selasa lepas, yang mendakwa Ahli Parlimen Pagoh itu mempertahankan hak warga asing dalam penyasaran subsidi RON95.
Ringkasan AI
- Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau mempertahankan hak warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95, dan meminta Anwar menarik balik kenyataan serta memohon maaf secara terbuka di Parlimen.
- Muhyiddin menyatakan kesediaan menerima permohonan maaf tetapi akan membawa isu itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan jika tiada tindakan diambil, sambil mempersoalkan arahan siasatan oleh MCMC yang disifatkan tidak masuk akal.
- Anwar sebelum ini menyatakan kenyataan Muhyiddin mempertikaikan bebanan terhadap warga asing dalam penyasaran subsidi, namun Muhyiddin menegaskan PN sentiasa konsisten bahawa subsidi harus mengutamakan kepentingan rakyat tempatan.
"Saya katakan mungkin sebagai sahabat, tapi dia juga manusia biasa. Cuma jawatan dia tinggi. Saya pun pernah berada di situ juga dulu. Mungkin dah berlaku kesilapan. Jadi agak susah bagi Perdana Menteri nak kata ‘Muhyiddin ... sorry-lah (aku) salah’.
"Dia boleh kata begitu, okay. Jadi saya cuma nak minta satu perkara dari YAB Tambun dengan izin Speaker, mohon maaf, tarik baliklah kenyataan itu. Saya ini rela, saya akan terima maafnya sekarang juga.
"Tapi saya nak beritahu kalau YAB Tambun tak minta maaf, saya akan bawa perkara ini kepada YB Speaker, kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan," katanya lagi.
Mengulas mengenai arahan Perdana Menteri terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk membuat siasatan terhadap perkara tersebut, Muhyiddin berkata, beliau tidak faham apa dan siapa yang perlu disiasat.
“Takkanlah MCMC hendak siasat penafian saya? Adakah saya melakukan apa-apa kesalahan di bawah mana-mana undang-undang semata-mata kerana menafikan tuduhan fitnah yang dibuat ke atas saya? Ini tidak masuk akal.
“Atau adakah YAB Tambun mengarahkan MCMC supaya menyiasat dirinya sendiri. Ini juga tidak masuk akal. Pokoknya, janganlah Tambun menggunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri untuk menutup kesilapannya,” tegasnya lagi.
Sewaktu sidang Dewan Rakyat pada Selasa lepas, Anwar berkata, beliau menerima laporan ada ahli Parlimen daripada pembangkang yang mempertahankan hak warga asing dalam usaha penyasaran subsidi.
Susulan itu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid bangkit meminta Perdana Menteri untuk mendedahkan identiti sebenar ahli Parlimen yang didakwa berbuat demikian.
Bagaimanapun Anwar berkata, Rosol sepatutnya membaca terlebih dahulu kenyataan yang didakwa daripada Muhyiddin berhubung perkara tersebut.
“Yang Berhormat tak baca kenyataan ketua sendiri iaitu Ahli Parlimen Pagoh. Lain kali baca dulu sebelum datang Parlimen, jangan pakai 'hentam kromo' sahaja.
“Baca kenyataan YB Pagoh yang mempersoalkan mengapa kerajaan bebankan orang asing sedangkan orang asing juga memberi sumbangan kepada negara,” katanya lagi.
Susulan itu, Muhyiddin menafikan beliau pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang membawa maksud mempertahankan hak warga asing dalam penyasaran subsidi RON95.
Katanya lagi, Perikatan Nasional konsisten sejak dahulu bahawa manfaat pelaksanaan subsidi harus diberikan keutamaan terhadap kepentingan rakyat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami