IPOH: Kerajaan negeri Perak tidak menerima sebarang laporan berhubung insiden telefon pintar yang diberikan secara percuma terbakar setakat ini, kata Menteri Besarnya Datuk Saarani Mohamad.

Beliau mengulas ciapan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Twitter pada Selasa yang meminta kerajaan menarik balik pengedaran telefon percuma berkenaan susulan dakwaan berlaku kejadian telefon yang diberikan meletup.

Saarani berkata pihaknya masih belum menerima aduan berkenaan kejadian itu berlaku terhadap penerima di negeri ini.

“Saya tidak tahu ia berlaku di mana (dakwaan insiden telefon pintar terbakar oleh Syed Saddiq). Setakat ini yang telah kita edarkan kepada pelajar-pelajar di Negeri Perak belum ada laporan lagi yang dikatakan berlaku insiden telefon terbakar.

“Namun yang cantiknya lebih banyak permintaan. Lebih ramai orang yang meminta untuk mendapatkan telefon itu,” jawabnya ringkas menerusi satu sidang media secara maya dekat sini pada Rabu.

Semalam, Syed Saadiq di laman Twitter mendakwa berlaku kejadian telefon pintar meletup.

“Sudah banyak insiden telefon yang kerajaan edarkan ini meletup, tetapi masih tidak ada apa-apa tindakan berat dibuat? Paling tidak, tarik semula telefon ni dan ganti yang lebih berkualiti,” tulis Syed Saddiq.

Pada Februari lalu, Saarani mengumumkan bantuan agihan sebanyak 20,000 telefon hasil sumbangan Yayasan YTL, di bawah inisiatif program Tuisyen Cikgu Saarani diedarkan kepada semua pelajar kumpulan B40.

Ia bertujuan supaya tiada murid atau pelajar di Perak yang ketinggalan daripada mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).