Tiada jaminan bahawa peratusan mengundi adalah lebih tinggi pada hari hujung minggu berbanding dengan yang keluar mengundi pada hari bekerja, bagi sebarang pilihanraya yang dijalankan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata mengikut rekod SPR, faktor hari pembuangan undi pada hujung minggu tidak menjadi penentu utama jaminan peratusan yang akan keluar mengundi.

Sebaliknya, beliau berkata apa yang penting adalah kemahuan dan komitmen para pengundi berdaftar untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Tiada kaitan antara hari mengundi, sama ada hari bekerja atau hujung minggu. Kadang-kadang bilangan orang yang keluar mengundi adalah sedikit walaupun masa cuti.

"Mengikut rekod kami kadang-kadang ramai yang akan keluar mengundi pada hari bekerja,” kata Abdul Aziz dalam sidang media di Pusat Media Kementerian Komunikasi dan Multimedia sempena pilihanraya kecil Permatang Pauh, hari ini.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata SPR akan menyiasat dakwaan kejadian seorang pengundi warga emas di Penanti yang gagal membuang undi kerana ada pihak lain yang menggunakan kad pengenalannya untuk membuang undi.

Beliau menegaskan kejadian itu hanya melibatkan peratusan yang sangat kecil dan tidak menjejaskan kredibiliti keputusan pilihanraya kecil tersebut.

Berikutan itu, beliau menafikan dakwaan yang dibuat oleh beberapa pihak tertentu kononnya pilihan raya kecil (prk) Permatang Pauh dicemari dengan kehadiran pengundi hantu.

Jelasnya, kelayakan kawasan seseorang membuang undi ditentukan berdasarkan rekod pendaftaran pengundi.

Bagaimanapun katanya, isu itu timbul mungkin disebabkan ada individu yang layak mengundi tetapi tidak tinggal di situ dan hanya pulang pada hari pengundian.