Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (Jais) mengakui ketiadaan jurutera di jabatan itu antara punca sesetengah masjid di negeri ini gagal diselenggara dengan sempurna.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata sehubungan itu, Jais akan mengambil beberapa langkah termasuk bercadang melantik jurutera bagi menangani masalah tersebut.

"Tanggungjawab Jais sebagai agensi pelaksana terlalu besar, selain bertanggungjawab menguruskan masjid di seluruh Selangor, Jais juga perlu menguruskan beberapa sekolah di sini.

"Buat masa ini, penyelenggaraan masjid dibuat atas bantuan JKR (Jabatan Kerja Raya) disebabkan Jais tidak mempunyai jurutera sendiri.

"Mungkin selepas ini kita akan melantik jurutera secara kontrak bagi mengatasi masalah ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pengumuman keputusan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) peringkat Selangor, di sini, hari ini.

Turut hadir pengarah Jais, Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 3 yang dibentangkan Dewan Rakyat semalam, mendapati enam masjid kelolaan jabatan itu di daerah Sepang, Petaling dan Gombak, tidak disenggara sehingga menyebabkan masjid tersebut mengalami kerosakan berterusan.

Laporan itu turut menyebut, terdapat kerja penyenggaraan baik pulih ke atas masjid tidak mengikut spesifikasi menyebabkan hasil kerja tidak tahan lama serta memerlukan pembaikan semula.

"Saya melihat perkara ini perlu diambil tindakan secara serius, kerja ini bukan kerja mudah, kita tidak mahu masalah berterusan.

"Atas sebab itu saya akan berbincang dengan pengarah (Jais) supaya perkara ini dapat diperbaiki," katanya.

Sementara itu, seramai 4,382 calon atau 11.8 peratus daripada 37,169 pelajar memperoleh keputusan Mumtaz (Cemerlang) dalam PSRA tahun ini.

Seramai 9,584 calon pula memperolehi Jayyid Jiddan (sangat baik), 9,333 Jayyid (baik), 8,625 Maqbul (lulus) dan 5,245 Rosib (gagal).

Selain itu, Qistina Soffiya Taqiyuddin Amini, 12, dari Sekolah Rendah Agama (SRA) Integrasi Seksyen 19, di sini dipilih sebagai pelajar cemerlang kategori perempuan manakala Muhammad Alif Iskandar Abdul Rahim, 12, dari SRA Sijangkang, Kuala Langat pula dipilih pelajar cemerlang kategori lelaki.