MUALLIM: Sebanyak 21 buah kilang di Perak telah dikompaun dan diarah tutup serta-merta kerana beroperasi tanpa kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Ia hasil operasi bersepadu yang dijalankan pihak polis dan agensi penguatkuasaan terhadap 6,479 buah kilang di kawasan perkilangan dan perindustrian di Perak sejak 1 Jun hingga 6 Julai.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, daripada jumlah itu sebanyak 76 kompaun telah dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), termasuk 21 kilang yang diarahkan tutup.

"Kalau tak ada surat kebenaran MITI memang tutuplah, memang tak dibenarkan buka. Semasa kita buat pemeriksaan secara fizikal, kita dapati kilang tu memang ada surat MITI tetapi didapati bahawa (itu hanya ketika membuat perohoan). Maknanya, apa yang dia perakukan lain daripada apa yang dia beroperasi. Maka, pihak MITI telah mengarahkan supaya kilang-kilang ini ditutup," ujar beliau.

Beliau bercakap dalam sidang media selepas menyertai Op Patuh di sekitar Daerah Muallim di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di Slim River, pada Rabu.

Menurutnya, daripada 21 kilang yang diarahkan tutup kerana tiada kebenaran MITI, enam terletak di Ipoh, lima di Taiping, masing-masing tiga di Tapah dan Hilir Perak, dua di Batu Gajah dan masing-masing satu di Manjung dan Sungai Siput.

Dalam operasi yang dijalankan pada Rabu, sebanyak 10 buah kilang diperiksa melibatkan Daerah Muallim, Kampar dan Perak Tengah.

Daripada jumlah itu, sebanyak tujuh kompaun telah dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan termasuk majikan gagal memastikan jarak fizikal katil asrama pekerja asing dan pekerja tidak memakai pelitup muka dengan sempurna.

Memasuki Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN), polis mendapati tahap pematuhan kilang-kilang di Perak terhadap SOP semakin bertambah baik.