ALOR SETAR: Tiada kelulusan baharu diberikan untuk kegiatan pembalakan di Kedah sejak kerajaan negeri bertukar tangan pada Mei tahun lepas, kata Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata projek mengeluarkan balak di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik yang tular baru-baru ini, sebenarnya telah diluluskan pada 2017.

Sanusi berkata walaupun kelulusan pembalakan di kawasan seluas 200 hektar di Kompartmen 12 di hutan simpan itu sudah lama diberikan kepada Yayasan Islam Kedah (YIK), lesen untuk proses tebangan baru diperoleh pada penghujung 2020.

"Saya nak maklumkan proses penebangan balak ambil masa panjang, ada yang lulus pada 2005 dulu, masih dalam proses melesenkan tebangan... yang tulis kat papan tanda itu tarikh lesen tebangan bukan kelulusan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, di sini, pada Selasa.

Beliau mengulas dakwaan dibangkitkan beberapa pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dalam laman sosial yang tular baru-baru ini, kononnya projek pembalakan di Bukit Enggang itu diluluskan oleh kerajaan negeri semasa.

Katanya walaupun projek itu baharu mendapat lesen untuk tebangan, kerajaan negeri sedia ada tidak boleh membatalkan projek berkenaan kerana ia akan menyebabkan implikasi kewangan yang besar.

"Ada persoal kenapa tak batalkan, bila satu kelulusan diberi dan dibuat tawaran premium, mereka bayar, jadi tak boleh batal dia boleh saman, sebab untuk setiap kelulusan syarikat dah keluar perbelanjaan untuk buat sampling, cari kawasan, buat tandaan, bayar deposit dan itu semua melibatkan kos.

"Saya dimaklumkan ada kes negeri yang kena saman untuk pembatalan (tebang balak), tak mampu bayar saman, akhirnya selesai luar mahkamah dan diberi kawasan baharu, jadi kerajaan terikat bila kelulusan sudah dibuat," kata Muhammad Sanusi.

Beliau berkata terdapat 75,000 hektar kawasan pembalakan telah diluluskan sejak 2014 hingga 2020 dan akan dilesenkan tebangan.

"Kita akan lesenkan tebangan ikut kuota oleh Majlis Tanah Negara bagi Kedah bagi Rancangan Malaysia Ke-12, Kedah boleh tebang 4,000 hektar setahun, untuk habiskan 75,000 hektar ambil masa 18 tahun," katanya.

Katanya walaupun tiada kelulusan baharu untuk pembalakan, proses permohonan sentiasa diterima kerajaan negeri termasuk permohonan untuk menukar ganti kawasan.

-- BERNAMA