ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah tidak meluluskan permohonan baharu projek kuari di Baling bagi memastikan alam semula jadi di daerah yang berpotensi dimajukan sebagai lokasi tumpuan ekopelancongan itu tidak terjejas.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata projek kuari batu kapur, granit dan pasir yang telah diluluskan sebelum ini pula ditangguhkan dan akan digantikan dengan tapak alternatif bersesuaian.

"Langkah itu seiring dengan matlamat kerajaan negeri untuk menjadikan Baling sebagai daerah ekopelancongan," katanya dalam sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Najmi Ahmad (PN-Kupang) yang ingin tahu apakah rancangan kerajaan negeri untuk menjadikan daerah mundur seperti Baling dapat dilonjak supaya setanding dengan daerah-daerah lain.

Beliau berkata dalam konteks Baling, yang merupakan antara daerah termiskin di Kedah, Pelan Pembangunan Kedah 2035 telah menetapkan identitinya sebagai sebuah daerah ekopelancongan dengan mengambil kira hutan sebagai guna tanah terbesar yang kaya dan berpotensi untuk dibangunkan produk-produk pelancongan berasaskan semula jadi.

"Maka sebarang projek yang boleh menjejaskan perancangan tersebut seperti permohonan kuari kita akan pertimbangkan dan tangguhkan. Baling ini kaya dengan permohonan kuari antaranya melibatkan batu kapur, granit dan pasir," katanya.

Dalam pada itu Muhammad Sanusi berkata Pembangunan Pusat Ekonomi dan Komuniti Bersepadu (iCON) di Baling juga akan mengurangkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar, sekali gus memanfaatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di daerah itu.

Beliau berkata projek di bawah Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), dijangka siap pada 2025 itu, akan menyediakan landasan kepada usahawan dan komuniti luar bandar dengan pasaran di bandar yang lebih luas.

"Projek iCON juga akan meningkatkan nilai produk tempatan serta menjadi kawasan tarikan baharu di daerah Baling," katanya.

-- BERNAMA