KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 daripada Pakatan Harapan berpendapat, tiada keperluan untuk darurat dilaksanakan dalam menangani pandemik COVID-19 di negara ini. 

Pendirian itu diumumkan menerusi kenyataan bersama Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu Datuk Seri Saifuddin Nasution,  Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook hari ini.

"Pendirian kami ialah tiada keperluan untuk darurat dilaksanakan, sebaliknya pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang lebih ketat adalah kaedah terbaik.

"Kami juga berpendirian bahawa persidangan Parlimen harus segera diadakan sebagai mekanisma semak dan imbang sesuai dengan prinsip demokrasi berparlimen di negara kita," kata mereka. 

Jelas mereka, setakat hari ini, jawatankuasa tersebut masih belum memuktamadkan sebarang keputusan mengenai tempoh melanjutkan atau menamatkan darurat untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Sejak dilantik menganggotai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat pada awal tahun ini, kami selaku ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat telah menyampaikan pandangan-pandangan  kepada jawatankuasa ini.

"Pandangan-pandangan ini menyentuh pelbagai perkara termasuk pandemik COVID-19, vaksinasi, kematian harian, kemudahan hospital, keadaan ekonomi negara serta kesan kepada kehidupan rakyat," kata mereka.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu

Mereka juga mengulangi pendirian bahawa pendekatan ‘Government Intervention’ dalam bentuk PKP dan darurat adalah dua perkara yang berbeza dalam menangani wabak tersebut.

Kenyataan dikeluarkan sempena sesi Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja Melayu yang berlangsung di Istana Negara petang ini susulan siri pertemuan  Al-​Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan wakil ketua politik baru-baru ini.

Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021ditubuhkan mengikut Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Ia dianggotai 18 anggota jawatan kuasa termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Samsudin Osman, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai, bekas Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan bekas Ketua Pengarah Kesihatan Prof Tan Sri Dr Mohamad Taha Arif.

Keanggotaan lain terdiri daripada pakar kesihatan awam, wakil parti politik pembangkang dan kerajaan, tokoh bidang pendidikan, kesihatan, keselamatan, ketenteraman awam, pentadbiran awam dan undang-undang, mufti serta wakil dewan perniagaan.