ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata tiada keperluan untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelamatkan Tanah Rizab Melayu di negeri itu.

Beliau berkata ini kerana Tanah Rizab Melayu di Kedah masih terpelihara dengan dasar kerajaan negeri yang menjaga kepentingan tanah Melayu sekali gus tidak memerlukan penubuhan jawatankuasa itu bagi menjaga tanah rizab tersebut.

"Tanah Rizab Melayu di Kedah selamat tak ada jawatankuasa pun selamat, kalau negeri lain ada pengurangan, patut ia ditubuhkan. Kalau tubuh itu kritikal sangat, tapi kita tak kritikal, kita ada peningkatan sejak daripada 1933 diwartakan Tanah Rizab Melayu kita ada peningkatan sebanyak 408 hektar.

"Kita punya polisi kalau pertukaran, tanah ganti itu mesti lima peratus lebih luas daripada tanah yang dicabut keluar dari Tanah Rizab Melayu, polisi itu kekal dan tidak timbul Tanah Rizab Melayu berkurang sebab penggantian mesti lebih luas daripada tanah asal," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tanah Negeri di sini hari ini.

Khamis lepas, media melaporkan kerajaan negeri Perak melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri itu menubuhkan jawatankuasa khas dan beberapa langkah mitigasi untuk mengembalikan status Tanah Rizab Melayu di Perak.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dilaporkan berkata antara langkah awal diambil PTG adalah dengan melakukan sekatan dan memasukkan Kaveat Pendaftar bagi kesemua 3,214 hektar tanah yang terlibat untuk menghalang sebarang transaksi atau pindah milik kepada bukan Melayu.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Tanah Negeri hari ini meluluskan sebanyak 642 geran hak milik tanah di seluruh negeri.

Beliau berkata ia melibatkan proses permohonan penduduk yang mengusahakan tanah melebihi 20 tahun dan kelulusan paling banyak melibatkan daerah Pendang di Kampung Paya Serdang dan Langkawi.

"Saya harap pemilik tanah yang diberi geran jangan jual tanah itu. Tiap-tiap kelulusan baharu ini ada sekatan 10 tahun untuk tanah-tanah ini diluluskan, jika ada permohonan untuk dijual beli, kita tak benarkan, jika gadaian bolehlah dia nak sandar di bank.

"Kita lulus ini untuk ada harta ada hak milik tanah untuk diwariskan kepada anak cucu, kalau nak jual kita tak benarkan," katanya.

-- BERNAMA