KUALA LUMPUR: Kerajaan tiada perancangan untuk menganjak penetapan waktu di Semenanjung daripada GMT+8 kepada GMT+7, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong hari ini.

Beliau berkata perubahan Waktu Standard Malaysia ini hanya akan membebankan rakyat.

"Secara umumnya, perbezaan waktu sejam di antara GMT+8 dan GMT+7 tidak mempengaruhi kehidupan seharian. Body clock atau jam biologi manusia boleh mengadaptasi perubahan persekitaran dengan baik dengan perbezaan yang sedikit ini," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Liew menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mengenai cadangan untuk menimbang agar waktu Semenanjung ditukar kepada GMT+7 berdasarkan kedudukan geografi dan pergerakan matahari yang sebenar agar rakyat dapat menjalani kehidupan seharian mengikut body clock sejajar dengan keseimbangan waktu.

Beliau berkata GMT+8 dipilih kerana waktu ini didapati lebih sesuai dari segi penjimatan ke atas waktu siang serta akibat atau impaknya ke atas keselesaan dan kebiasaan kehidupan rakyat Malaysia secara keseluruhan.

"Satu lagi faktor lain ialah penyeragaman ini mengikut amalan antarabangsa. Pada tahun tersebut juga, Kerajaan Singapura telah bersetuju untuk mengikut jejak langkah Malaysia dengan menetapkan waktu standardnya 8 jam kehadapan GMT (Greenwich Mean Time) walaupun secara geografinya, ia berdekatan dengan garis longitud 104 darjah timur atau garis masa GMT+7.

"Pada masa ini, waktu Malaysia ditetapkan pada garis masa GMT+8 berasaskan kepada waktu garisan longitud 120 darjah timur yang dikenali sebagai Waktu Standard Malaysia seperti termaktub dalam Akta Sistem Pengukuran Kebangsaan 2007 (Akta 675)," katanya.

Liew berkata di bawah Akta 675, dinyatakan fungsi Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM) melalui Majlis Pengukuran Kebangsaan sebagai Makmal Standard Pengukuran Kebangsaan yang telah diberi mandat untuk menyenggara atau menyebabkan supaya disenggarakan waktu seragam sejagat.

Beliau berkata Majlis Pengukuran Kebangsaan telah dijadikan sebagai antara agensi di bawah MITI bermula 9 Julai 2020.

"Di antara tahun 1945 and 1982, waktu standard Semenanjung ditetapkan pada 7 dan setengah jam kehadapan GMT. Pada 21 Dis 1981, Dewan Rakyat dimaklumkan dalam perbahasan Rang Undang-Undang Waktu Standard Malaysia bahawa waktu rasmi bagi seluruh Malaysia ditetapkan 8 jam kehadapan GMT mulai 1 Jan 1982.

"Ini bermakna pada 11.30 malam 31 Dis 1981, waktu Semenanjung diubah 30 minit kehadapan menjadikan ia sama dengan pukul 12 tengah malam mengikut waktu Sabah dan Sarawak," katanya.

-- BERNAMA