Tiada keperluan untuk mewujudkan semula Akta Anti berita tidak benar buat masa ini bagi menangani laporan palsu yang semakin berleluasa ketika ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, ini kerana peruntukan undang-undang sedia ada boleh digunakan ke atas mana-mana pihak yang bertindak menyebar maklumat dan berita tidak benar sehingga mencetuskan suasana tidak tenteram dalam kalangan masyarakat.

Menurut beliau, selain di bawah Kanun Keseksaan, undang-undang sedia adalah turut melibatkan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

"Seperti mana saya sebut Akta Anti Berita Tidak Benar sudah dimansuhkan tapi masa ini kita masih ada undang-undang yang boleh dikuatkuasakan untuk tangani masalah ini (penyebaran laporan palsu).

"Jadi soal sama ada wujud undang-undang boleh dilaksanakan untuk masa ini tidak berbangkit buat masa sekarang," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Gobind sebelum itu mengadakan lawatan kerja ke Pasar Penjaja Ropewalk dan Astaka Lorong Kulit sempena program Info On Wheels pada Khamis.

Dalam perkembangan berkaitan, di Kuala Lumpur, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat, cadangan mewujudkan kembali Akta Antiberita Tidak Benar mungkin boleh difikirkan semula.

Bagaimanapun, Muhyiddin menyerahkan keputusan mengenainya kepada pihak kerajaan.

“Ia adalah sesuatu yang mungkin kita boleh fikirkan semula jika dirasakan perlu. Namun, apa yang lebih penting ialah situasi masa kini, bagaimana menanganinya.

"Kita juga ada undang-undang lain juga termasuk di bawah Kanun Keseksaan yang dilakukan polis yang saya rasakan sudah cukup dikuatkuasakan sepenuhnya,” kata Muhyiddin dalam sidang media di Bukit Aman di sini pada Khamis.

BACA: Akta Antiberita Tidak Benar boleh difikirkan semula


Sementara itu, Gobind berkata, bagi mengekang penyebaran berita palsu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati menyebarkan maklumat yang mempunyai kandungan palsu terutamanya membabitkan wabak koronovirus ketika ini.

Katanya, mereka yang menyebarkan laporan palsu boleh didakwa dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Jelasnya, pelbagai cara juga telah dilaksanakan oleh agensi di bawah kementeriannya itu termasuk menyediakan satu portal iaitu sebenarnya.my bagi menanggani penularan berita palsu.

Dalam pada itu, Gobind berkata, beliau berpuas hati dengan langkah yang dilakukan semua pihak dalam usaha memberi kesedaran kepada orang ramai menerusi penyebaran maklumat yang tepat mengenai wabak novel koronavirus.

Jelasnya, selain agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) kerjasama dengan kumpulan media lain juga menunjukkan impak positif dalam menyampaikan maklumat benar serta sahih kepada masyarakat berhubung virus berkenaan.