Tiada kompromi bagi anggota APMM babit dengan tali barut

Bernama
Ogos 21, 2020 21:03 MYT
Mohd Nur Syam (tengah) bersama para anggota mengetuai pasukan APMM Kelantan memberi tabik hormat pada Majlis Latihan Menembak Bersama Media di atas Kapal Km Tok Bali, Pasir Puteh, 21 Ogos, 2020. -- fotoBERNAMA
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggotanya yang bersubahat atau menjadi tali barut musuh sehingga menggagalkan misi membendung pencerobohan nelayan asing di perairan negara.
Pengarah APMM Kelantan Kapten Maritim Mohd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata sehingga ini tiada aduan mengenai pembabitan anggotanya membocorkan maklumat mengenai pengoperasian APMM di sesuatu lokasi tertentu.
"APMM tidak akan bertolak ansur dengan anggota yang sanggup menjual dan menggadaikan kedaulatan negara hanya untuk mendapatkan laba daripada musuh dengan menjadi dalang," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat APMM, Tok Bali, di sini, selepas latihan menembak bersama media, pada Jumaat.
Acara sampingan adalah latihan menembak senjata api kecil di laut dan latihan penembakan Meriam Aselsan 30mm dan Oto Melara 12.7mm.
Seramai 20 wakil media cetak dan elektronik Kelantan menyertai program bersama KM TOK BALI di perairan Kelantan. Ia juga sebagai tanda penghargaan kepada semua rakan media negeri Kelantan di samping mengeratkan hubungan antara media dan APMM.
BACA: Nelayan Vietnam ditembak: Anggota patuh 'Rules of Engagement' guna senjata api
BACA: Nelayan Vietnam maut ditembak anggota APMM
BACA: Nelayan Vietnam baling bom petrol, diesel, rempuh bot Maritim Malaysia sebelum ditembak
Mohd Nur Syam, sebelum itu, berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada kalangan rakyat termasuk nelayan tempatan membocorkan rahsia pergerakan kapal dan bot APMM sebaik keluar dari Muara Tok Bali dalam usaha membendung pencerobohan nelayan asing untuk merompak kekayaan hasil laut negara.
"Kita sedang membuat siasatan dan akan mendedahkan kegiatan mereka yang sanggup menjadi pengkhianat kepada negara," katanya.
-- BERNAMA
#Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia #APMM #bocor maklumat #dalang #kedaulatan negara #Kelantan #Mohd Nur Syam Asmawie Yaacob #Muara Tok Bali #nelayan asing #nelayan vietnam #pencerobohan #pengkhianat #perairan negara #Siasat #tali barut #tembak #Tok Bali