KUANTAN: Penternak lembu dan kerbau yang membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran hingga membahayakan pengguna jalan raya bakal dikenakan tindakan.

Bagi memastikan perkara ini dicegah, polis akan menjalankan operasi bersepadu terhadap penternak yang membiarkan haiwan peliharaan mereka berkeliaran.

Untuk itu, Polis Daerah Kuantan akan berkolaborasi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Pahang dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Polis Wan Mohd Zahari Wan Busu, pihaknya tidak akan berkompromi dengan penternak yang sengaja membiarkan ternakan mereka berkeliaran sehingga mengundang risiko kemalangan.

“Penternak lembu yang melepaskan atau membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran di atas jalan raya -- sama ada di jalan raya negeri, Persekutuan ataupun di kawasan kawasan perumahan.

"Dalam hal ini, PDRM sebagai lead agency untuk menangani permasalahan ini, akan berkolaborasi dengan pihak Jabatan Veterinar Negeri Pahang dengan Majlis Bandaraya Kuantan bagi mengadakan operasi bersepadu terhadap lembu, kerbau yang berkeliaran,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 157 kes kemalangan melibatkan haiwan ternakan dilaporkan berlaku di daerah Kuantan sepanjang tahun lalu dan 37 kes hingga April tahun ini.

Menurutnya, penternak yang membiarkan haiwan ternakan berkeliaran di jalan raya dan kawasan perumahan boleh didakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar di bawah Enakmen Kawalan Kerbau Lembu 2001.

Sekiranya berlaku kemalangan melibatkan haiwan ternakan, polis akan mengambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 289 Kanun Keseksaan, katanya lagi.

Sehingga kini, terdapat 89 penternak berdaftar dan bagi tahun ini, JPV Pahang telah menjalankan lima operasi dan menangkap lapan lembu yang berkeliaran.