BENTONG: Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sudah sepenuhnya dimuktamadkan dan tidak akan ada lagi sebarang perubahan seperti sebelumnya, kata Datuk Seri Wee Ka Siong.

Menurut Menteri Pengangkutan itu, ketetapan tersebut telahpun diputuskan dan Skim Keretapi sudahpun ditandatangani.

"Tidak akan ada lagi perubahan dari segi jajaran sekalipun berlaku pilihan raya atau apa -apa (yang lain).

“Selepas kita telah menandatangani Skim Keretapi, bermakna kerja-kerja pembinaan projek ECRL ini boleh terus berjalan," kata beliau ketika mengadakan lawatan ke tapak pembinaan Terowong Genting ECRL Seksyen C (Mentakab ke Pelabuhan Klang) di sini, hari ini.

Ka Siong berkata, laluan di Seksyen C itu akan membabitkan pembinaan landasan terowong terpanjang di Asia Pasifik dan dianggap sebagai bahagian pembinaan paling mencabar bagi projek ECRL.

"Projek ECRL ini kini siap siaga untuk menghadapi cabaran di Seksyen C yang merangkumi jajaran dari Mentakab ke Pelabuhan Klang di mana pihak MRL selaku pemilik projek ECRL dan syarikat China akan berganding bahu menjalankan kerja-kerja fizikal seawal suku pertama tahun ini," jelas beliau.

Kataya, kerja-kerja kritikal lain di seksyen tersebut merangkumi pembinaan Terowong Berkembar Genting sepanjang 16.39 Kilometer menggunakan mesin pengorek terowong (TBM) serta pembinaan Terowong Serendah sepanjang 14.10 Kilometer menerusi kaedah gerudi dan letup.

Secara umumnya, pembinaan Seksyen C, ujarnya, melibatkan jajaran sepanjang 172 Kilometer dan melibatkan lima buah stesen ECRL iaitu Temerloh, Bentong, ITT Gombak, Serendah Baru dan Jalan Kastam.

Beliau turut memaklumkan, kerja-kerja penggerudian terowong dijangka dimulakan selepas Mei ini sebaik projek pemasangan TBM yang tiba di Malaysia pada 4 Julai tahun lalu siap sepenuhnya.

"Hari ini kita tunjuk TBM ini telah masuk dan sudahpun dipasang. Tetapi kita perlu lagi korek sedalam 50 meter sebelum ia boleh dibawa masuk," jelasnya.

Mesin pengorek TBM yang dibuat dari China itu dijangka mempunyai keupayaan untuk melakukan kerja-kerja mengorek terowong sejauh 700 meter sebulan.

Ketika ini mesin tersebut telahpun 85 peratus siap proses pemasangan semula dan bakinya dijangka selesai sepenuhnya menjelang Mei ini.