BUKIT KATIL: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka menyediakan 2.4 juta biji atau 80,000 papan telur untuk dibekalkan ke seluruh Semenanjung bagi keperluan rakyat sepanjang Ramadan ini.

Pengarah FAMA negeri, Hairudin Yunos berkata, mengambil kira Melaka sebagai pengeluar telur terbesar negara, pihaknya memberi jaminan bekalan bahan keperluan itu mencukupi sepanjang Ramadan dan Aidilfitri.

"Pengaturan pasaran antara FAMA dengan usahawan telah dilakukan. Jadi, kerisauan bekalan itu tak ada, tak perlu risau.

"(Dari segi) ketersediaan bekalan memang Melaka sendiri sudah pastikan bekalan itu ada. Setiap minggu kita sasarkan 15,000 hingga 20,000 papan yang kita sasarkan kepada semua pusat operasi, dan insya-Allah ia akan berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas  Program Jualan pra-Ramadan Melaka Madani 2023 di sini, yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Nnegeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Pada jualan itu, pelbagai barangan dijual dengan harga murah seperti ayam segar dengan harga RM8.50 sekilogram berbanding harga pasaran RM9.40; minyak peket satu kilogram (RM2) dan telur gred C (RM10 sepapan).

Mengulas lanjut, Hairudin berkata, sebagai pengeluar telur terbesar negara, Melaka menyumbang lapan juta daripada keseluruhan 18 juta biji telur yang diagihkan kepada peruncit dan pusat operasi FAMA di seluruh Semenanjung sejak Disember lalu.

Katanya, pasukan khas dikenali Egg Action Team@Melaka (eat@melaka) juga sudah bersedia bagi menyelaras agihan bekalan telur ke 14 pusat operasi FAMA seluruh Semenanjung yang dijangka meningkat lima hingga 10 peratus pada bulan puasa.

Katanya, pasukan sama juga setakat ini mendapati tiada keluhan daripada bakal peniaga pasar Ramadan mahupun pembuat kuih berhubung isu kekurangan bekalan telur.

Selain itu pihaknya juga bekerjasama dengan peniaga pasar Ramadan dan usahawan industri kecil dan sederhana (iks) bagi memastikan mereka mendapat bekalan telur yang mencukupi.