IPOH: Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid menegaskan, tidak menjadi sebarang masalah bagi polis menerima sumbangan pelindung muka daripada pertubuhan Freemason.

Menurutnya, tidak ada sebab untuk menghalang pertubuhan itu menghulurkan sumbangan kepada pihak polis dalam menjalankan tugasan harian.

Katanya, pihak polis mengalu-alukan sumbangan daripada sesiapa sahaja untuk bersama-sama mengekang penularan wabak COVID-19.

“Bagi sumbangan pelindung muka kepada polis tidak ada salahnya, bukan kita ikut fahaman dia (Freemason),” katanya.

Beliau ditemui selepas melawat wartawan akhbar harian Makkal Osai, R. Letchumi yang diserang stok sejak Julai lalu, di Taman Desa Pengkalan, dekat sini, hari ini.

Pada 15 Oktober lalu, beliau menerima sumbangan 5,000 pelindung muka daripada pertubuhan Freemason yang diwakili Persatuan Kebajikan Bintang Utara.

Laporan mengenai sumbangan itu disiarkan sebuah portal hari ini, yang mengundang pelbagai reaksi di media sosial.