SHAH ALAM: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman tidak mengesan penggunaan dadah jenis fentanyl dalam kalangan penagih di negara ini.

Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Kamaruddin Md Din berkata, setakat ini tiada sebarang rampasan dijalankan melibatkan dadah berkenaan.

"Berdasarkan operasi dan rampasan dijalankan, JSJN masih belum mengesan penagih yang menggunakan dadah jenis fentanyl ini.

"Bagaimanapun, JSJN akan terus berusaha dalam usaha membanteras gejala penyalahgunaan dan pengedaran dadah walaupun ancaman dadah semakin kompleks dari hari ke hari," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, penguatkuasaan sentiasa dijalankan bagi memastikan kegiatan penyalahgunaan dadah ini dibanteras sehabisnya.

"JSJN akan memastikan tiada hari tanpa tangkapan menerusi operasi berterusan.

"Ops Tapis Khas juga akan diteruskan secara bersepadu bagi mengekang aktiviti haram ini daripada terus berleluasa," katanya.

Menurut beliau, pihaknya sentiasa mempergiatkan kerjasama dalam negara serta antarabangsa terutama dalam operasi penguatkuasaan bersama dan pertukaran maklumat.

"PDRM khususnya JSJN sentiasa mengadakan perjumpaan bagi mengeratkan kerjasama serta berkongsi maklumat dengan setiap agensi penguatkuasaan dalam negara dan juga negara-negara lain berkaitan dadah.

"Menerusi kaedah ini, aktiviti penyeludupan dadah antarabangsa rentas sempadan dapat dihapuskan dan negara terkawal dengan ancaman kemasukan dadah," katanya.

Mohd Kamaruddin berkata, tindakan serta hukuman tegas sentiasa menanti bagi pesalah berkaitan kes dadah di negara ini.

"Selain menjatuhkan hukuman yang berat bagi kesalahan memiliki, menyeludup dan seterusnya mengedar, PDRM turut merampas dan menyita harta individu serta sindiket yang terlibat secara langsung atau tidak langsung (sekutu) dengan aktiviti pengedaran dadah.

"Individu yang terlibat dalam aktiviti kesalahan pengedaran dadah akan ditahan dan dihukum di bawah Akta Dadah Berbahaya 1985 (Langkah Langkah Pencegahan Khas di mana hukumannya adalah seperti ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) atau dikenakan sekatan di lokasi yang ditentukan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN)," katanya.

Pada Isnin, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerusi sidang akhbar menyatakan pihaknya telah merampas 807.9 kilogram (kg) dadah jenis fentanyl dianggarkan bernilai RM44.4 juta pada 9 Disember lalu.

Keseluruhan dadah yang diikrar sebagai sebatian pewangi itu dihantar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Mumbai, India dan transit di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai akan dihantar ke Dubai, United Arab Emirates menggunakan laluan udara.

Dadah ini dipercayai 100 kali lebih kuat daripada morfin serta boleh mengubah penagihnya menjadi seperti 'zombi' jika dicampur dengan dadah lain seperti xylazine. - Sinar Harian