Ketiadaan penerbangan langsung dari negara-negara yang terjejas kes Ebola dilihat faktor utama risiko kemasukan jangkitan itu rendah di Malaysia.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, selain itu, pelawat yang tiba dari negara-negara terjejas ke Malaysia perlu singgah sebentar di sebuah lapangan terbang tertentu untuk mengambil penerbangan sambungan lain yang berikutnya sebelum sampai ke Malaysia.

"Apabila sampai ke lapangan terbang persinggahan ini, pelawat berkenaan akan melalui proses saringan kesihatan.

"Sekiranya bergejala, individu terbabit akan disekat dari meneruskan perjalanannya," katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Dr Hilmi menjawab soalan Teo Kok Seong (DAP-Rasah) yang mahu Menteri Kesihatan menyatakan secara terperinci usaha yang telah dilakukan untuk mencegah wabak Ebola di negara ini.

Penyakit virus Ebola adalah penyakit serius dengan kadar kematian yang tinggi.

Penyakit ini boleh menjangkiti manusia dan juga haiwan, seperti kelawar dan monyet dan pertama kali pertama dikesan dalam kalangan manusia pada tahun 1976 di Republik Demokratik Congo dan Sudan.

Tegasnya, pasukan kesihatan yang bertugas di pintu masuk antarabangsa negara bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi berkaitan bagi mengesan pelawat yang tiba dari negara terjejas.

"Ia dilaksanakan melalui pengukuhan sistem saringan kesihatan sedia ada bagi penyakit 'Yellow Fever'.

Begitu juga, Kad Amaran Kesihatan bagi Ebola diedarkan kepada para pelawat yang tiba dari negara-negara berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Hilmi menjelaskan, pihaknya turut menjalankan kerjasama dengan Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di Malaysia mempunyai kemasukan para pelajar antarabangsa dari negara Afrika Barat yang terjejas dengan wabak Ebola.

"Mengikut data yang dikongsikan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia, terdapat sejumlah lebih 7,000 pelajar dari Guinea, Liberia, Nigeria dan Sierra Leone yang kini sedang berada di IPTA mahupun IPTS seluruh negara.

"Kebanyakan daripadanya, iaitu sekitar 75 peratus adalah merupakan pelajar di IPTS.

"Begitu juga dengan hebahan nasihat kesihatan berkaitan Ebola khususnya dalam kalangan para pelajar kemasukan baru dan pelajar dengan sejarah pulang ke negara asal dalam lingkungan 21 hari sebelumnya," jelasnya.

Sehingga 8 Oktober tahun ini, sejumlah 5,864 kes Ebola dengan 2,811 kematian dilaporkan oleh negara-negara yang terlibat kepada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Di Malaysia, Ebola adalah salah satu penyakit yang perlu dinotifikasi di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).