IPOH: Pejabat Menteri Besar Perak menafikan dakwaan bahawa berlaku penganiayaan dan pengusiran secara paksa sekumpulan petani di Kanthan, Tambun kerana proses pengosongan tanah yang dilakukan adalah mengikut saluran undang-undang.

Dalam kenyataan di sini semalam, Pejabat Menteri Besar Perak memaklumkan bagi menyelesaikan isu yang sudah berlarutan lebih 11 tahun itu, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) menawarkan tapak alternatif di Changkat Kinding yang telah digazetkan sebagai zon pertanian melibatkan kerjasama Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC).

"Kerajaan Negeri Perak sentiasa komited mengambil pendekatan berhemah dalam menyelesaikan isu tuntutan sekumpulan setinggan pertanian yang melakukan aktiviti pertanian secara haram di tapak projek Silver Valley Technology Park (SVTP) milik PKNPk.

"Bagi membolehkan proses pemindahan dibuat secara tersusun, Kerajaan Negeri telah membelanjakan lebih RM700,000 bagi penyediaan infrastruktur serta kerja-kerja pembinaan teres bagi tujuan perladangan serta kemudahan saluran bekalan air di tapak alternatif berkenaan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga memaklumkan lawatan tapak ke Changkat Kinding telah diadakan pada Mei 2021 bersama-sama setinggan pertanian terbabit, namun malangnya sehingga kini hanya sekumpulan kecil daripada mereka yang menerima tawaran tersebut.

"Adalah amat penting bagi PKNPk sebagai penggerak utama ekonomi Negeri Perak untuk merealisasikan projek berimpak tinggi SVTP bagi melengkapkan perancangan memacu pembangunan industri negeri yang dijangka menyediakan ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat selain mewujudkan peluang-peluang perniagaan baru.

"Pun begitu, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan memahami kekangan yang dihadapi setinggan pertanian terbabit, Kerajaan Negeri melalui PKNPk sentiasa membuka pintu perundingan agar jalan penyelesaian menerusi penyediaan tapak alternatif di Changkat Kinding dapat sama-sama direalisasikan," menurut kenyataan itu.

Isu tersebut menurut Pejabat Menteri Besar, boleh diselesaikan secara harmoni dengan semua pihak mengambil sikap tanggungjawab dan menghormati prinsip serta keluhuran undang-undang.

"Kerajaan Negeri juga menghargai peranan petani dalam membantu memastikan aspek ketersediaan sumber makanan sentiasa diutamakan, malah Perak adalah negeri pertama yang melancarkan Pelan Tindakan Sekuriti Makanan sebagai usaha menjadikan negeri ini sebagai hab pengeluaran makanan negara," menurut kenyataan itu.

Malah, sekuriti makanan menjadi satu daripada enam agenda dalam pelan Perak Sejahtera 2030 dengan menggariskan pelbagai inisiatif memperkasa industri asas tani termasuk penubuhan Akademi Sekuriti Makanan dan pembinaan hub industri halal, jelas Pejabat Menteri Besar.

Dua hari lepas dilaporkan polis menahan empat individu, termasuk Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Michael Jeyakumar kerana cuba menghalang pengusiran petani di Kanthan, Tambun.

Turut ditahan kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas ialah Ahli Jawatankuasa PSM R Karthiges, anggota Pemuda PSM Perak P Kesavan, dan seorang petani yang dikenali sebagai Ho Pon Tien.

-- BERNAMA