Kerajaan akan mengekalkan kedudukan semua agensi yang sebelum ini bernaung dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi di bawah tanggungjawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, buat masa ini, tiada keperluan untuk menstrukturkan semula semua agensi terbabit berikutan perubahan kementerian dalam kerajaan.

Beliau bagaimanapun berkata, perkara tersebut akan diteliti dan disemak oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, bagi mengenal pasti jika ada keperluan mendesak untuk penstrukturan semula beberapa agensi.

"Pada ketika ini, struktur sedia ada dikekalkan untuk sementara waktu memandangkan seluruh kementerian ini sedang berusaha untuk melengkapkan rangka Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

"Kita tidak mahu timbul sebarang masalah dalam masa terdekat ini supaya segala tenaga dan tumpuan diberikan untuk melengkapkan rangka RMK-12 yang akan dibentangkan pada akhir tahun ini," katanya ketika ditemui dalam majlis ‘Clock In’ Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin menegaskan, tumpuan utama kerajaan adalah untuk memberi fokus kepada pelaksanaan RMK-12 yang akan menjajarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

"Jadi seluruh tenaga, pemikiran dan penglibatan pegawai itu memang penting bagi memastikan RMK-12 benar-benar menjadi satu rancangan ekonomi yang beri manfaat langsung kepada rakyat khususnya dalam menangani cabaran ekonomi semasa," ujarnya.