KOTA BHARU: Tiada persefahaman, pasangan curang dan campur tangan mentua antara punca utama berlaku penceraian dalam kalangan pasangan berusia antara 35 hingga 39 tahun di negara ini.

Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata berdasarkan dapatan kajian yang dilakukan pihaknya setakat ini, sebanyak 56.2 peratus lelaki menyatakan mereka bercerai kerana tiada persefahaman dengan pasangannya, diikuti pasangan curang (11.8 peratus) dan campur tangan mentua atau ipar-duai (10 peratus).

"Bagi dapatan daripada wanita pula, tiada persefahaman turut mencatatkan peratusan yang tertinggi punca mereka bercerai dengan pasangan iaitu 38 peratus, diikuti pasangan curang (20.5 peratus) dan pasangan tidak bertanggungjawab (15.2 peratus).

"Selain itu, campur tangan mentua mencatatkan 6 peratus, enggan dimadukan (2.8 peratus), masalah kewangan (4.7 peratus) dan lain-lain punca seperti didera, tiada zuriat serta terlibat kes jenayah (10.4 peratus)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan di sini pada Selasa, yang dirasmikan Tengku Temenggong Kelantan Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

Mengulas lanjut, Rohani berkata rata-rata pasangan yang menghadapi konflik rumah tangga ini terdiri daripada golongan muda selepas tempoh perkahwinan antara lima hingga 10 tahun.

"Pastinya pihak kami akan bantu dan beri kaunseling terlebih dahulu dengan menasihati pasangan ini mengikut kesesuaian masalah yang dihadapi mereka.

"Hasrat kita sememangnya untuk pastikan pasangan masing-masing mengembalikan semula kasih sayang bagi mengelak mereka memilih jalan terakhir iaitu bercerai atau berpisah," katanya.

-- BERNAMA