Skip to main content

Malaysia

Tiada perubahan kuota BUDI95, paparan 150 liter akibat gangguan sistem - MOF

PAM MINYAK
Kuota bulanan Program BUDI95 kekal sebanyak 200 liter sebulan bagi pengguna yang layak, termasuk bagi bulan Jun 2026. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kuota bulanan Program BUDI95 kekal sebanyak 200 liter sebulan bagi pengguna yang layak, termasuk bagi bulan Jun 2026.

Kementerian Kewangan (MOF) menjelaskan, perkara itu susulan kekeliruan yang timbul apabila sebahagian pengguna mendapati paparan had bulanan dalam sistem BUDI95 menunjukkan kuota 150 liter.

Menurut MOF, keadaan tersebut berlaku ketika kerja-kerja penyelenggaraan sistem dijalankan pada jam 11 malam, 31 Mei lalu.

Kementerian dalam satu kenyataan memaklumkan, paparan berkenaan berpunca daripada ralat teknikal sistem yang telah dikenal pasti dan diperbetulkan.

"Paparan tersebut adalah disebabkan oleh ralat teknikal sistem yang telah dikenal pasti dan diperbetulkan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

MOF turut menegaskan, tiada sebarang perubahan dibuat terhadap had bulanan Program BUDI95 seperti yang dipaparkan sebelum ini.

Menurut kementerian itu, pelaksanaan BUDI95 akan terus dipastikan berjalan lancar, telus dan teratur bagi melindungi kepentingan rakyat serta memastikan bantuan subsidi bersasar sampai kepada golongan yang layak.

"Segala kekeliruan berkenaan ralat ini amat dikesali," katanya lagi.

Must Watch Video

Advertisement