Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan, terdapat seramai 181 petugas kesihatan kerajaan dan swasta disahkan dijangkiti COVID-19 setakat ini.

Bagaimanapun, menurut KKM, tiada petugas kesihatan yang bertugas di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan wad yang mengendalikan kes COVID-19 dijangkiti virus itu.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah yang dijangkiti hanya 20 peratus melibatkan tugasan di hospital dan pusat kesihatan manakala selebihnya tidak berkaitan dengan sebarang aktiviti di hospital.

"Apabila lihat barisan hadapan KKM, seramai 181 orang dengan dua kematian iaitu dua ini adalah sejarah perjalanan ke Turki dan Indonesia dan tidak berkaitan dengan jangkitan masa bekerja.

BACA: COVID-19: Jumlah mangsa pulih atasi kes baharu, 2 kematian lagi direkodkan

"Daripada jumlah itu, 67 peratus iaitu 122 petugas dijangkiti di luar kawasan hospital menghadiri majlis kahwin dan sebagainya ada yang menjangkiti rakan mereka. Ada 36 kes dijangkiti semasa berkhidmat di klinik atau di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Tetapi mereka ini dijangkiti apabila melaksanakan sesuatu prosedur, di mana pesakit tidak memaklumkan bahawa mereka ada hubung kait dengan kontak rapat. Jadi, mereka (petugas) tidak memakai Peralatan Perlindungan Diri (PPE).

"Tetapi yang harus ditegaskan tidak ada sorang pun berkhidmat di wad COVID dan Unit Rawatan Rapi (ICU) dijangkiti setakat ini, mereka mengamalkan langkah pencegahan dan PPE semasa tugas," katanya pada sidang media harian KKM di sini pada Rabu.

Malah, katanya petugas barisan hadapan akan melalui proses saringan secara berkala dalam memastikan mereka bebas daripada sebarang jangkitan COVID-19.

KKM juga telah menjalankan dua mesyuarat bersama hospital swasta bagi membincangkan berkenaan langkah pro-aktif yang perlu diambil dalam memastikan tiada lagi petugas dijangkiti virus tersebut.