MALAYSIA
Tiada pihak harus ganggu-gugat peranan asal UiTM - Tengku Permaisuri Selangor

Tengku Permaisuri Norashikin bertitah bahawa universiti tersebut mempunyai sejarah istimewa, khususnya dalam membina kecemerlangan dan jati diri bangsa Melayu serta bumiputera menerusi pendidikan tinggi. - Gambar/ Bernama
SHAH ALAM: Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, bertitah agar tiada mana-mana pihak mengganggu-gugat kedudukan serta peranan asal Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Ringkasan AI
- Tengku Permaisuri Selangor bertitah agar tiada pihak mengganggu-gugat kedudukan dan peranan asal UiTM yang ditubuhkan untuk melindungi hak Melayu, Orang Asli serta anak negeri Sabah dan Sarawak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
- Baginda menyeru generasi muda agar terus menuntut ilmu dan mengurus keterbukaan media sosial dengan bijak bagi mengelakkan fitnah serta menjaga keharmonian negara.
- Baginda mengucapkan tahniah kepada 24,643 graduan konvokesyen UiTM ke-102 dan menyanjung jasa pensyarah yang menerima gelaran Profesor Emeritus atas sumbangan dalam pendidikan dan penyelidikan.
"Justeru, saya berharap agar tiada mana-mana pihak mengganggu-gugat kedudukan dan peranan asal universiti ini," titah baginda pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-102 Sidang Pertama di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) di sini, hari ini.
Terdahulu, Tengku Permaisuri Selangor berkenan mengurniakan ijazah sarjana kepada 237 graduan pascasiswazah bagi peringkat Doktor Falsafah dan Sarjana Kepakaran Klinikal hari ini.
Turut hadir Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin.
Baginda turut menzahirkan titah peringatan kepada generasi muda, khususnya para graduan, agar tidak pernah berasa jemu untuk terus menuntut ilmu meskipun setelah menamatkan pengajian.
"Pendidikan hendaklah sentiasa dijadikan agenda utama negara, yang wajib diperkasa bersesuaian dengan kehendak zaman dan keperluan masyarakat. Pendidikan bukan sekadar untuk melahirkan tenaga kerja, tetapi juga untuk membina insan berakhlak mulia serta berjiwa merdeka," titah baginda.
Tengku Permaisuri Norashikin turut berpesan agar keterbukaan dalam berkongsi maklumat di media sosial, diurus dengan bijak bagi mengelakkan fitnah, berita palsu dan perbalahan yang boleh menggugat keharmonian negara.
Baginda turut menyeru seluruh rakyat agar terus memelihara keharmonian serta menyanjung keamanan, kemakmuran dan hasil pembangunan yang telah diusahakan bersama.
"Ibarat sebuah rumah yang kita dirikan dengan jerih payah sendiri, jika roboh, kita jugalah yang kehilangan tempat berteduh. Begitu juga dengan tanah air ini, kita perlu sayang dan kita perlu hargai. Justeru, sama-samalah kita pelihara dan pertahankannya," titah baginda.
Dalam pada itu, Tengku Permaisuri Selangor menzahirkan ucapan tahniah kepada 24,643 graduan yang menamatkan pengajian mereka sempena konvokesyen kali ini.
Baginda turut mengucapkan tahniah kepada pensyarah Fakulti Sains Gunaan UiTM Dr Ahmad Sazali Hamzah atas penganugerahan gelaran Profesor Emeritus serta dedikasinya dalam memperkasa pendidikan, penyelidikan dan memartabatkan UiTM di persada antarabangsa.
Istiadat Konvokesyen UiTM ke-102 di DATC berlangsung bermula hari ini sehingga 20 Sept 2025, 17 hingga 18 Sept 2025 di UiTM cawangan Sarawak kampus Samarahan, dan 8 hingga 9 Okt 2025 di UiTM cawangan Sabah kampus Kota Kinabalu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami