KUALA LUMPUR: Politik pilihan raya di Malaysia tidak mempunyai sistem dua parti seperti di Amerika Syarikat (AS) atau United Kingdom (UK) yang terdiri daripada satu pihak pemerintah dan satu pihak lagi pembangkang.

Sebaliknya, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Kartini Aboo menjelaskan, sistem politik Malaysia berdasarkan fenomena 'kepembangkangan' iaitu gabungan dua parti yang mempunyai aspirasi berbeza dan bukannya disebabkan ideologi.

"Adalah tidak tepat untuk melihat sistem dua parti wujud di Malaysia kerana kita mengamalkan pakatan kepembangkangan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Sabtu.

Ekoran itu, kata Kartini, Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik tidak pernah mengamalkan politik perkauman apatah lagi manyalahgunakan nama parti untuk merendahkan mana-mana kaum lain.

Beliau berkata, apa yang ditonjolkan di Malaysia sebagai parti berasasakan perkauman merujuk kepada parti-parti politik yang mewakili kaum dengan warisan kolonial yang diperkenalkan populasi banci pada kurun ke-18 dan sehingga kini masih kekal dengan memberi label kepada kategori etnik.

"Jika Malaysia ingin menghapuskan pengenalan etnik untuk parti politik maka usaha untuk mengubah populasi banci terlebih dahulu," tambahnya.

Ujarnya lagi, dilihat dari konsep parti politik perkauman, di Malaysia mempunyai dua majoriti yang berbeza iaitu majoriti populasi iaitu populasi Melayu Bumiputera dan keduanya majoriti ekonomi yang didominasikan oleh masyarakat Cina.

"Persoalan kepada ekonomi politik ini yang mendorong kesemua kaum dan parti politik di Malaysia untuk mengamalkan perkongsian kuasa.

"Semua harus bersedia untuk berkongsi kuasa. Tidak ada parti politik di Malaysia yang boleh menang secara solo," katanya.