Tiada laporan rakyat Malaysia yang terlibat dalam gempa bumi berukuran 6.3 skala richter di Wilayah Ibaraki yang terletak di sebelah timur Jepun pada jam 9.38 malam Rabu.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan memberitahu, Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo telah memaklumkan bahawa kesemua 29 orang pelajar Malaysia yang sedang menuntut di bandar Hitachi yang terletak kira-kira 22 kilometer dari Takahagi telah dihubungi dan disahkan bahawa mereka berada dalam keadaan selamat.

"Mereka terdiri daripada 19 orang pelajar Ibaraki University dan 10 orang pelajar National Institute of Technology, Ibaraki College.

"Kebanyakan pelajar berada di luar Ibaraki untuk bercuti kerana Universiti dan Institut tesebut ditutup sehingga 2 Januari 2017 sempena cuti musim sejuk," jelas kenyataan itu.

Gempa bumi yang berpusat di Takahagi (utara Wilayah Ibaraki) tersebut tidak menyebabkan sebarang amaran tsunami dikeluarkan oleh pihak berkuasa Jepun.

Dalam pada itu, Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo akan terus memantau situasi susulan gempa bumi tersebut dan berhubung rapat dengan pihak berkuasa Jepun untuk sebarang makluman serta perkembangan terkini.

"Kerajaan Malaysia menyampaikan rasa simpati kepada Kerajaan dan rakyat Jepun di atas kejadian yang berlaku terutamanya mangsa yang terlibat," jelas kenyataan itu.