PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu bahawa tiada saksi mata menyaksikan kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 penghuni, enam tahun lepas.

Peguam Haijan Omar yang mewakili seorang remaja lelaki selaku perayu berhujah bahawa pihak pendakwaan hanya bergantung kepada keterangan ikut keadaan yang tidak kukuh bagi menyokong kes tersebut.

"Pihak pendakwaan bergantung kepada keterangan ikut keadaan melalui saksi pendakwaan ke-68 dan ke-69, yang melihat perayu melompat pagar memasuki pusat tahfiz berkenaan dan penemuan pemetik api," kata peguam itu yang dibantu peguam Asyraf Abu Bakar Hamzah.

Selain itu, Haijan berkata anak guamnya mengemukakan pembelaan alibi bahawa dia tidak berada dalam pusat tahfiz tersebut pada hari kejadian tetapi duduk di tangga sebelum pulang ke rumah.

"Keterangan mengenai alibi juga tidak langsung disiasat oleh pegawai penyiasat. Saya dengan rendah diri berhujah sabitan dikenakan itu tidak selamat dan mahkamah ada kuasa untuk melihat perkara ini serta membenarkan rayuan ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya How May Ling berhujah bahawa saksi pendakwaan ke-68 dan ke-69 adalah saksi mata kepada kejadian perayu melompat pagar memasuki tahfiz berkenaan.

"Saksi-saksi berkenaan dapat mengecam perayu dengan melihat gaya dan pakaiannya. Ketika kejadian panjat itu, ada cahaya lampu jalan. Mahkamah Tinggi memutuskan pengecaman dibuat saksi terbabit adalah selamat dan diyakini," katanya.

Remaja lelaki itu yang kini berusia 22 tahun merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya ditahan di penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong kerana membunuh 23 individu dalam kebakaran di pusat tahfiz berkenaan.

Pada masa sama, pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan seorang lagi remaja terhadap tuduhan membunuh tanpa dipanggil membela diri.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, panel tiga hakim diketuai Datuk Abu Bakar Jais yang bersidang bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun menetapkan 11 Mei ini untuk sambung hujahan.

Menurut pertuduhan yang dipinda, remaja itu bersama seseorang yang tidak dicam, dituduh membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di sini, antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi pada 14 Sept 2017.

Dia didakwa dengan 23 pertuduhan, masing-masing mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan Seksyen 97(2) akta sama.

-- BERNAMA